MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan keseluruhan struktur dan operasi organisasi perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih tidak terjejas walaupun timbul isu penahanan lima anggotanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Mohamed Khaled, hal itu kerana organisasi perisikan ATM mempunyai sistem pengasingan maklumat yang mana pangkalan data dan maklumat strategik diasingkan secara terancang bagi mencegah berlakunya kebocoran maklumat.
Selain itu, jelas beliau, audit keselamatan dalaman juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan sistem maklumat dan kawalan keselamatan anggota benar-benar kukuh dan bebas daripada kelemahan.
Mohamed Khaled berkata, ia termasuk pelaksanaan semakan latar belakang terhadap pegawai dan anggota, serta usaha berterusan untuk memperkukuh nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan pegawai perisikan di bawah organisasi tersebut.
“Usaha ini sekali gus dapat mengurangkan risiko pendedahan anggota perisikan kepada cubaan manipulasi dan unsur eksploitasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya mereka yang cuba melindungi kegiatan jenayah.
“Semua maklumat sulit pertahanan negara dikawal rapi melalui prosedur keselamatan yang ketat, termasuk penggunaan rangkaian komunikasi tertutup dan sistem yang selamat,” katanya semasa Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara lewat petang tadi.
Beliau menjawab pertanya Senator Datuk Salehuddin Saidin dan Senator Dr Wan Martina Wan Yusof yang meminta penjelasan berkenaan penahanan lima pegawai kanan ATM oleh SPRM atas dakwaan membocorkan maklumat operasi kepada kumpulan penyeludup baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, ATM telah mengambil tindakan menggantung tugas kesemua pegawai terlibat untuk memberi ruang kepada penyiasatan yang lebih telus dan bebas.
Katanya, ATM juga sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan, serta mengelakkan penghukuman yang mendahului penghakiman.
Dalam hal ini, tegas beliau, Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku pegawai berkenaan jika mereka didapati bersalah.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

