Abu Sahid hadapi 17 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram RM452 juta

Dari Penulis

PENGARAH Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta.

Kesemua pertuduhan adalah berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA, bagi pihak Maju Holdings.

Abu Sahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham…tidak mengaku salah,” katanya seperti dilapor Berita Harian setiap kali pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Maju Holdings adalah pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya – KLIA.

Bagi kesemua empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan wang milik syarikat di dalam akaun CIMB Bank Berhad, didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berkenaan.

Baca artikel lain: Tular curi beg di masjid, polis buka kertas siasatan

Ia membabitkan wang masing-masing berjumlah RM91.5 juta, RM171.5 juta, RM49.6 juta dan RM500,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini, antara 4 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Dengan itu, Abu Sahid didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan itu, Abu Sahid boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda.

Bagi kes pengubahan wang haram membabitkan pertuduhan pertama hingga 10 pula, Abu Sahid didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun banknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan, antara 4 Mei 2016 hingga 29 Oktober 2019.

Bagi baki tiga pertuduhan lagi, tertuduh didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek dari akaun bank miliknya, antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.

Sehubungan itu, Abu Sahid didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFPUAA).

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Akram Ahmad Gharib, memaklumkan bahawa pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan syarat jaminan.

Selain itu, beliau turut memohon kesemua pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkenaan dibicarakan bersama.

Katanya, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin, dan memohon supaya pasport Abu Sahid diserahkan kepada mahkamah.

Peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abu Sahid, bersetuju dengan tawaran itu dan menyatakan pihak pembelaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Suzana kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan ikat jamin sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin, dan memerintahkan Abu Sahid menyerahkan pasportnya sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

SKDS diperluas kepada jip, pikap syarikat mulai 15 Julai

KERAJAAN memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap, sekali gus membolehkan...

More Articles Like This