SETAKAT hari ini seramai 3,850 pegawai perubatan Gred UD10 bersetuju menerima tawaran lantikan tetap.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka akan melaporkan diri di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara bermula 2 Oktober ini.
“Secara amnya, kalau dibanding dengan tahun lalu, kadar penerimaan kini lebih kurang sama. Bezanya kali ini kita memberi tiga pilihan penempatan, termasuk di Sabah dan Sarawak. Itu cabaran utama untuk mengatasi masalah maldistribution.
“Daripada perspektif KKM, sebagai menteri saya sangat mengharapkan mereka terus bersama kami untuk membangunkan, memperkukuh dan memperkasakan lagi fasiliti-fasiliti kesihatan awam kita,” katanya seperti dilapor Bernama.
Baca artikel lain: Siasatan terhadap Tun M masih berjalan – Azam Baki
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu ke-14 Tahun 2025 hari ini.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak tahun ini, berikutan keperluan mendesak terhadap sektor penjagaan kesihatan negara.
Sementara itu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata, KKM bersama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan RESET bagi memastikan pembaharuan pembiayaan kesihatan diselaras merentasi kerajaan serta sektor swasta.
Beliau berkata, RESET sebagai wadah kepada inisiatif seperti Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) serta Dana Kesihatan Nasional (DKN) untuk dibangunkan secara bersepadu.

