PENYANYI Nadeera terus mengukir sejarah gemilang dalam kerjaya seninya apabila dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mewakili negara ke acara berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang bakal berlangsung pada 13 September ini di Tsonjin Boldog, Mongolia.
Pemilihan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi buat Nadeera, bahkan menjadi bukti kepercayaan tinggi RTM terhadap kemampuan, bakat serta aura bintang yang dimiliki artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu.
Di festival tersebut, Nadeera bakal mempersembahkan lagu hitnya Bukan Lagi Kita yang pernah melonjakkan namanya sebagai salah seorang vokalis terbaik generasinya sekali gus memperkenalkan karya muzik Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Pemilihan oleh pihak RTM ini satu penghormatan besar buat saya. Saya sangat terharu apabila diberitahu bakal membawa nama Malaysia ke ABU Song Festival 2025.
“Lagu Bukan Lagi Kita sangat dekat di hati saya, jadi saya mahu menyampaikannya dengan seluruh jiwa sebagai hadiah buat semua.
“Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia.
“Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan terbaik,” katanya.
Walaupun ini bukan kali pertama Nadeera menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa selepas pernah membuat persembahan di Vietnam dan Indonesia, peluang kali ini dianggapnya lebih istimewa.
“Saya amat berbangga kerana dapat mewakili Malaysia. Setiap kali melangkah ke luar negara, saya membawa semangat peminat di tanah air.
“Kali ini, ia lebih bermakna kerana saya bakal tampil di festival berskala antarabangsa bersama artis hebat dari seluruh Asia,” ujarnya.
Nadeera turut berterima kasih kepada RTM, Rocketfuel, pasukan produksi, pemuzik dan peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kerjayanya.
Pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment juga menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian Nadeera. Pemilihan ini membuktikan bakat vokal serta disiplin kerjayanya yang luar biasa.
“Kami yakin Nadeera akan mengharumkan nama Malaysia di Mongolia, selain membuka peluang kolaborasi antarabangsa yang lebih luas,” kata wakil Rocketfuel.
Dengan penuh semangat dan persiapan rapi, Nadeera kini bersedia untuk melakar satu lagi momen bersejarah buat muzik Malaysia di mata dunia.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

