HAEL Husaini, penyanyi, komposer dan storyteller prolifik tanah air, kembali memikat hati peminat dengan pelancaran dua single terbaharu berjudul Peluk (duet bersama Nadeera) dan Alangkah terbitan Rocketfuel Entertainment.
Kedua-dua lagu ini hadir sebagai karya penuh emosi dan kejujuran, dan kini dipilih sebagai lagu tema rasmi untuk dua drama bersiri popular Astro.
Peluk dipilih sebagai OST drama Mandul Bukan Pilihan lakonan Mira Filzah, Hun Haqeem dan Ayda Jebat.
Lagu ini mengangkat tema hubungan jarak jauh (LDR), menggambarkan rindu yang berpanjangan dan harapan untuk kembali bersatu dengan insan tersayang.
“Saya percaya ramai yang melalui fasa hubungan LDR. Lagu ini saya tulis sebagai bingkisan rasa rindu.
“Kadang-kadang rindu itu pahit, tapi dalamnya tetap ada keindahan,” kata Hael tentang makna di sebalik lagu ini.
Yang menjadikan lagu ini lebih istimewa adalah gandingan semula Hael bersama penyanyi bersuara lunak, Nadeera, selepas kejayaan lagu raya mereka, Meriah Lain Macam.
“Saya senang bekerja dengan Nadeera. Dia seorang penyanyi yang sangat jujur dalam menyampaikan emosi.
“Vokalnya menjadikan Peluk lebih hidup dan manis,” jelas Hael.
Malah, Nadeera turut menyatakan rasa syukurnya atas peluang untuk kembali berduet bersama Hael.
“Lagu ini bukan sekadar tentang cinta jarak jauh, tapi tentang kasih yang tetap utuh walaupun diuji.
“Saya sangat terharu kerana diberi kepercayaan menyumbangkan suara dalam karya seindah ini,” katanya.
Sementara itu, Alangkah pula dipilih sebagai OST untuk drama bersiri Thariq Ridzwan, lakonan Meerqeen dan Qasrina Karim.
Lagu ini membawa nuansa yang lebih melankolia dan reflektif, menggambarkan cinta yang tidak kesampaian dan harapan yang terbiar tergantung.
“Saya tulis Alangkah berdasarkan kisah sebenar orang-orang terdekat. Ada cinta yang tidak berakhir seperti yang diimpikan.
“Tapi dalam setiap kepedihan itu, ada sesuatu yang indah untuk dikenang,” kongsi Hael.
Melodi balada yang syahdu serta lirik yang dalam menjadikan Alangkah sebagai karya yang menyentuh emosi dan sesuai untuk menemani momen-momen kesedihan dan pengharapan.
Kedua-dua lagu ini pada asalnya dirancang untuk dimuatkan dalam album Antonim: Part II.
Namun, selepas diperdengarkan secara eksklusif semasa konsert Hael Husaini & Repertoire, permintaan peminat yang tinggi telah mendorong pihak Rocketfuel Entertainment untuk melancarkannya lebih awal sebagai single digital.
“Ramai peminat terus bertanya bila lagu ini akan dilancarkan. Saat itu, saya sedar betapa pentingnya muzik ini buat mereka.
“ Ini bukan sekadar lagu, tapi sesuatu yang benar-benar menyentuh mereka.
“Saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi lebih awal,” ujarnya.
Bagi Hael, setiap karya adalah satu bentuk refleksi perasaan dan dia berharap agar pendengar dapat menemui cerminan diri mereka dalam kedua-dua lagu ini.
“Peluk mungkin jadi penguat untuk mereka yang merindui, manakala Alangkah jadi peneman untuk mereka yang terluka.
“Jika lagu-lagu ini mampu menemani mereka dalam perjalanan hidup, itu sudah cukup membahagiakan saya,” katanya penuh syukur.
Kedua-dua single Peluk (feat. Nadeera) dan Alangkah kini boleh distrim di semua platform digital utama.
Video muzik rasmi untuk kedua-dua lagu dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Hael sekali lagi membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium penyembuh dan penghubung emosi antara hati dan jiwa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

