PELAKON berpengalaman, Datuk Remy Ishak menyuarakan sikap segelintir pelaku seni yang diibaratkan tidak komited dan kurang bersedia menghidupkan watak.
Menurut Remy atau Muhammad Zalimei Ishak,43, rata-rata menjadikan profesion pelakon sebagai jalan populariti sekaligus tidak serius menunjukkan jiwa dalam karakter.
“Susah nak jumpa yang betul-betul serius sekarang. Kalau nak terasa, terasalah.
“Tapi saya dah jumpa ramai yang memang tak bersedia. Saya pun bukanlah nak cakap sudah bersedia sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya kita cubalah beri hasil yang terbaik untuk filem Malaysia.
“Kalau hanya nak popular, cukuplah dengan media sosial. Tak perlu berlakon kalau tak ada kesungguhan,” katanya kepada URTV.
Remy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon dan produksi filem Khadam di ibu negara.

Remy yang sinonim dengan watak-watak berat dan beremosi, menegaskan bahawa lakonan bukan sekadar hadir di set penggambaran dan kelihatan cantik di skrin.
“Lakonan perlukan persediaan dan penghayatan. Rupa paras tak bermakna apa-apa kalau rasa itu tak sampai.
“Kita berlakon untuk sampaikan rasa. Cantik saja tak cukup sebab akan sentiasa ada orang yang lebih cantik selepas kita,” ujarnya.
Tambah Remy, biarpun dia tidak memiliki latar belakang dalam jurusan perfileman, tetapi menganggap tanggungjawab terhadap kerja sebagai satu prinsip penting dalam kariernya.
Remy turut menyatakan kekecewaan terhadap kualiti lakonan pelakon baharu yang menurutnya semakin kurang diberi perhatian.
“Berlakon bukan sekadar nampak elok di media sosial tetapi soal jiwa, kejujuran dan mesej yang nak disampaikan.
“Susah nak jumpa pelakon seperti Maya Karin, Erma Fatima, Umie Aida, Liyana Jasmay dan Sharifah Sakinah pun bagus.
“Batch pelakon itu datang dari zaman yang betul-betul hargai filem,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Remy bakal membintangi filem seram terbaharu berjudul Khadam, yang turut menampilkan pelakon popular Indonesia, Aghniny Haque.
Pelakon filem KKN: Desa Penari dan Pemandi Jenazah itu nyata memberi impak tersendiri kepada Remy sejak sesi bacaan skrip pertama lagi.
“Masa sesi bacaan skrip, dia dah beri sepenuhnya. Energinya luar biasa… sampai saya terfikir, ‘gila betul orang ni’.
“Bila giliran dia baca skrip, karakter tu hidup depan mata. Saya boleh rasa dia memang tepat untuk cerita ni,” katanya.
Filem Khadam diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, dengan arahan oleh Shamyl Othman serta skrip tulisan Fariza Azlina Ishak.
Selain Remy dan Aghniny, filem ini turut dibintangi oleh Siti Khadijah Halim, Jun Lojong, Zarra Zhaff dan Karl El.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

