INISIATIF BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 yang diperkenalkan kerajaan didakwa sebagai dasar populis sementara yang gagal menyelesaikan masalah fiskal, gagal menutup ruang ketirisan dan tidak berlaku adil kepada rakyat.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendesak supaya kerajaan kembali kepada subsidi bersasar yang benar-benar mengutamakan golongan memerlukan, menutup ketirisan dan menjamin kelestarian kewangan negara.
Menurut Afnan Hamimi, rakyat tidak boleh terus dijadikan bahan uji kaji demi kepentingan politik sempit.
Beliau mendakwa, golongan T20 dan pemilik kereta mewah tetap menerima manfaat yang sama seperti rakyat marhaen yang hanya menggunakan motosikal atau kereta kecil.
Malah, beliau berkata, pengguna pengangkutan awam juga tidak mendapat sebarang faedah.
Afnan Hamimi berkata, ia sekali gus menjadikan BUDI95 bersifat regresif dan bercanggah dengan semangat keadilan sosial.
“Pemuda Pas memandang serius kelemahan skim subsidi petrol BUDI95 yang ternyata jauh tersasar daripada janji awal Kerajaan MADANI.
“Pada mula diperkenalkan, skim ini digembar-gemburkan mampu menjimatkan RM16 bilion setahun.
“Namun, angka itu mersot kepada RM8 bilion dan akhirnya tinggal sekitar RM2 hingga RM4 bilion.
“Penjimatan kecil ini langsung tidak memberi kesan bermakna kepada kedudukan fiskal negara, malah boleh menjadi beban baharu sekiranya harga minyak dunia terus meningkat kerana kerajaan terpaksa menambah subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Agong terima menghadap PM, dipersembah taklimat pelaksanaan BUDI95
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendakwa kuota 300 liter sebulan yang diberikan itu tidak menyelesaikan masalah asas.
Katanya, ia memberi isyarat songsang bahawa lebih banyak kuota digunakan, lebih banyak subsidi diberi.
Beliau mendakwa, matlamat sebenar mengurangkan penggunaan petrol, kesesakan jalan raya dan pencemaran alam juga tidak tercapai.
“Lebih menyulitkan, rakyat dibebankan dengan pelbagai syarat dan kerenah birokrasi. Terbaharu, Menteri Pengangkutan mengumumkan pemegang lesen yang gagal diperbaharui lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi.
“Keputusan ini hanya menambah beban teknikal kepada rakyat sedangkan subsidi minyak adalah soal keperluan harian.
“Paling mengecewakan, skim ini tetap membuka ruang luas kepada ketirisan kerana kuota besar mudah disalahgunakan termasuk dijual semula atau digunakan bagi kenderaan syarikat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

