FIFA telah teliti, beri pengesahan rasmi pemain warisan layak beraksi – FAM

Dari Penulis

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meneliti kelayakan malah memberikan pengesahan rasmi bahawa pemain warisan terlibat layak untuk beraksi mewakili Malaysia.

Penegasan itu susulan tindakan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM selepas berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Turut dikenakan tindakan adalah tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, para pemain terbabit dan FAM sendiri telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini.

“Pihak kami telah menerima keputusan rasmi daripada FIFA berkaitan kes pemain warisan.

“FAM telah menguruskan segala dokumentasi serta prosedur berkaitan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Malah, FIFA sebelum ini telah meneliti kelayakan pemain berkenaan dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan dengan keputusan ini katanya, FAM akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara.

Katanya, FAM kekal komited untuk bertindak dengan tegas, mematuhi peraturan antarabangsa serta mempertahankan integriti bola sepak negara.

“Kami juga akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah telus, adil dan berlandaskan semangat kesukanan,” jelasnya.

FAM perlu bayar denda

Terdahulu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PDRM buat persiapan awal hadapi PRN Johor

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan persiapan awal menjelang pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi. Perkara itu...

More Articles Like This