SEMBILAN lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden melakukan ancaman terhadap pemandu Perodua Myvi oleh sekumpulan penunggang motosikal yang turut tular di media sosial, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 17 sehingga 21 tahun ditahan dalam satu serbuan di sekitar kawasan Puchong dan Shah Alam awal pagi tadi.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas tiga buah motosikal yang disyaki digunakan ketika kejadian.
“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau memaklumkan, pihak polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya lagi, usaha mengesan baki suspek lain masih lagi diteruskan oleh pihaknya.
Sebelum ini pada semalam, UtusanTV melaporkan pihak polis menyiasat berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi kelmarin itu.
Muhammad Farid berkata, seramai 20 penunggang motosikal dianggarkan terlibat dalam kes terbabit selain memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sekumpulan penunggang motosikal namun motif sebenar belum dapat dipastikan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi 29 saat itu memaparkan kereta dipandu pengadu dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13.
Dalam rakaman itu, motosikal dilihat bergerak rapat di kedua-dua sisi dan hadapan kereta seolah-olah cuba mengepung serta menghalang laluan kenderaan terbabit.

