RM5.4 bilion diperuntuk untuk 22 projek berkaitan air di Perak – Fadillah

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperuntukkan RM5.4 bilion untuk 22 projek berkaitan air di Perak.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata, peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu meliputi 20 projek sambungan dan dua projek baharu.

Kata beliau, Kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek oleh agensi-agensi di bawah PETRA seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), rakyat akan menikmati bekalan air yang lebih terjamin, risiko bencana yang lebih rendah, dan peluang ekonomi baharu yang berasaskan kepada sumber air yang lestari.

“Negara kita dikurniakan 189 lembangan sungai utama, termasuk 11 yang berada dalam Negeri Perak. Namun, kita tidak boleh berbangga jika kualiti sungai tidak terpelihara.

“Laporan terkini dari Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa sebanyak 27 sungai di Malaysia masih tercemar. Statistik ini adalah peringatan dan amaran untuk kita semua,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof bersama Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib menyiram pokok Buluh Madu ketika hadir ke Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, Taiping, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Taiping, Perak.

Turut hadir Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pencemaran sungai tidak berlaku secara semulajadi, sebaliknya berpunca daripada sikap manusia sepertipembuangan sampah, aktiviti perindustrian haram dan kegagalan mematuhi peraturan alam sekeliling. 

Tegas beliau, sungai yang tercemar adalah tanda kecuaian komuniti dalam menjaga amanah tersebut.

Katanya, sekiranya sungai tercemar dan tersumbat akibat pembuangan sampah, ia akan menjejaskan kelancaran aliran air hujan, sekali gus meningkatkan risiko banjir. 

Sebaliknya jika sungai dijaga dengan baik oleh semua pihak, nyawa dan harta benda dapat dilindungi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berucap ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, Taiping, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Pendekatan pengurusan holisitk: IRBM & DSK

Lantaran cabaran itu, Fadillah berkata, PETRA melalui JPS telah melaksana pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM). 

Jelas beliau, pendekatan itu adalah satu usaha bersepadu yang melibatkan semua pihak berkepentingan, bertujuan untuk memastikan ketersediaan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan memulihara alam sekitar.

“Tahniah kepada Negeri Perak kerana lima Pelan IRBM telah siap dan satu lagi sedang dalam pelaksanaan. 

“Saya berharap Perak akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain melalui pelaksanaan pelan IRBMyang mana pengurusan sungai di Perak akan lebih terancang dan efisien,” kata Fadillah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof menyaksikan penyerahan Laporan IRBM Negeri Perak antara Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur , Tenaga , Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, Taiping, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Selain itu, Fadillah berkata,Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) juga salah satu inisiatif penting dalam penjagaan sungai.

Katanya, Program DSK bukan sekadar membina laluan, malah membina kesedaran dan rasa tanggungjawab atau sense of belonging terhadap sungai. 

Menurut Fadillah, DSK juga membolehkan komuniti setempat menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran.

“PETRA melalui JPS telah memperuntukkan RM1.05 juta untuk pembinaan DSK di Perak, termasuk di Sungai Batu Tegoh. 

“Dengan adanya program DSK, lokasi ini bukan sahaja menjadi tempat riadah, malah berpotensi untuk menjana ekonomi setempat dengan pelbagai aktiviti seperti aktiviti eko-pelancongan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof beramah mesra dengan Jurutera Daerah JPS Kuala Langat, Ir Ts Mohd Hasrulhisham Abdullah dari Pengurusan dan Sukarelawan Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang selepas diumumkan sebagai Johan Anugerah Khas Sumber Air 2025 pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, Taiping, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sungai Batu Tegoh:  Permata Negeri Perak

Dalam pada itu, Fadillah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Perak atas kesudian menjadi tuan rumah sambutan tahun ini. 

Katanya, pemilihan Sungai Batu Tegoh adalah satu pilihan yang tepat dengan keindahan alam dan kejernihan airnya menjadi tarikan istimewa kepada pengunjung di Perak.

Menurut Fadillah, di Sungai Batu Tegoh juga terletaknya Projek DSK yang telah siap pada tahun 2024. 

“Projek ini membuktikan bahawa sungai boleh menjadi lebih daripada sekadar sumber air, malah berpotensi menjadi pusat rekreasi untuk menjana ekonomi setempat. 

“Ia menghubungkan rakyat dengan sungai, membina rasa kepunyaan, serta membuka peluang ekonomi melalui eko-pelancongan dan aktiviti komuniti. Inilah konsep pembangunan yang inklusif,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This