Lebih 1,000 pengayuh serikan Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0 di Putrajaya termasuk peserta dari luar negara!

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

DATARAN Putrajaya kembali gamat dengan kehadiran lebih 1,000 pemilik basikal lipat dari seluruh negara serta beberapa negara jiran sempena Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 4.0 (HMBLK 4.0) yang berlangsung meriah, baru-baru ini.

Acara tahunan itu memasuki edisi keempat penganjurannya selepas kejayaan tiga edisi terdahulu bermula di MaTiC Kuala Lumpur, diikuti Sunway Big Box, Iskandar Puteri Johor, dan Kuantan, Pahang. 

Sejak diperkenalkan, HMBLK terus berkembang sebagai platform terbesar menghimpunkan komuniti basikal lipat di Malaysia.

Tahun ini, HMBLK 4.0 dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Wilayah Kuala Lumpur (JKKN) sempena Festival Permainan Malaysia, dengan sokongan Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Pengarah Projek HMBLK, Nasir Deraman, sambutan luar biasa yang diterima pada tahun ini menunjukkan minat mendalam rakyat terhadap aktiviti berbasikal yang bukan sahaja menyihatkan badan, malah memperkukuh semangat komuniti.

“Saya bersama seluruh pasukan HMBLK ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta atas sokongan mereka, serta kepada penaja dan kelab basikal lipat yang terlibat. 

Tahun ini kami turut menerima penyertaan dari Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, China dan Taiwan, yang menjadikan HMBLK semakin dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kayuhan santai sejauh 20 kilometer mengelilingi Putrajaya memberikan pengalaman unik kepada para peserta, terutama yang pertama kali menjejakkan kaki ke pusat pentadbiran negara. 

Laluan berkayuh yang tersusun, landskap hijau dan keindahan bangunan ikonik seperti Masjid Putra dan Jambatan Seri Wawasan menjadikan acara ini lebih istimewa.

Seorang peserta dari Perlis berkongsi pengalaman manisnya.

“Acara ini sangat bagus kerana kami dapat berjumpa rakan-rakan dari seluruh Malaysia yang sebelum ini hanya berhubung melalui media sosial.

“Kini dapat berkayuh bersama-sama. HMBLK memang terbaik dan wajar diteruskan setiap tahun,” katanya.

Manakala wakil dari Batam Folding Bike, Indonesia, Rizal Saputra, turut meluahkan keterujaan menyertai acara ini.

“Ini kali pertama kami berkayuh di Putrajaya. Kawasan ini sangat cantik dan bersih.

“Kami membawa rombongan seramai 15 orang dan amat teruja dengan pengalaman ini. Pasti kami akan kembali untuk edisi seterusnya,” ujarnya.

Susulan sambutan luar biasa edisi kali ini, pihak penganjur kini merancang penganjuran HMBLK 5.0 dengan skala yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas.

“Kami sedang meneliti lokasi serta konsep baharu untuk menjadikan HMBLK 5.0 lebih menarik. 

“Sokongan dan tajaan daripada pihak korporat amat dialu-alukan bagi memastikan acara ini terus menjadi agenda tahunan yang dinanti komuniti basikal lipat,” tambah Nasir.

Dengan semangat kekeluargaan dan kesukanan yang ditonjolkan, HMBLK 4.0 bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengukuhkan hubungan sesama penggemar basikal lipat di rantau ini  menjadikan Putrajaya medan penyatuan komuniti berbasikal serantau yang penuh semangat dan warna.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This