JABATAN Imigresen menahan 10 lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga China, di sebuah premis kediaman mewah di ibu negara selepas disyaki mengendalikan operasi perjudian dalam talian yang menyasarkan pasaran luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu dilakukan dalam Operasi Khas pada 9 Oktober lalu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi premis kediaman dan berjaya menahan 10 lelaki dan satu perempuan warganegara China.
“Kesemua yang ditahan berusia di antara 20 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, semakan awal mendapati dua lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) manakala lima yang lain telah tinggal lebih masa.
Katanya, tiga lagi lelaki dan seorang wanita itu pula tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi telah menyita tujuh naskhah pasport China, 11 unit komputer riba, tujuh unit telefon bimbit, tiga unit set komputer dan wang tunai sebanyak RM3,900.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis kediaman mewah sebagai pusat operasi perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh warganegara China yang menyasarkan pasaran luar negara.
“Aktiviti ini menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk tujuan promosi dan komunikasi,” katanya.
Jelas beliau, kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya siasatan lanjut.
“Jabatan ini akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

