MALAYSIA menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan antara Pakistan dan Afghanistan ketika ini.
Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, lewat malam tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar turut menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog terhadap kedua-dua pemimpin itu.
Menurut beliau, ia penting demi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau itu.
“Dalam masa yang sama, saya turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan serta komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Baca artikel lain: Kepelbagaian demografi, budaya di Malaysia anugerah yang perlu dipelihara – PM
“Pada masa sama, Malaysia juga berdiri teguh bagi memperkukuh semangat persaudaraan Islam dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pakistan dan Afghanistan mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dalam rundingan damai yang berlangsung di Doha, Qatar, selepas seminggu pertempuran sengit di sempadan kedua-dua negara.
Kementerian Luar Qatar dalam kenyataan memaklumkan, persetujuan itu dicapai hasil rundingan yang dimediasi oleh Qatar dan Turkiye, susulan keganasan terburuk antara kedua-dua negara sejak Taliban mengambil alih kuasa di Kabul pada 2021.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak turut bersetuju mengadakan mesyuarat susulan dalam masa terdekat bagi memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan serta disahkan pelaksanaannya.
Rundingan damai berkenaan diketuai oleh Menteri Pertahanan Afghanistan, Mullah Muhammad Yaqoob, dan Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif.
Pertempuran darat dan serangan udara Pakistan dilaporkan tercetus selepas Islamabad menuduh Kabul gagal mengawal militan yang menyerang dari tempat perlindungan di Afghanistan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

