KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menetapkan bahawa Persatuan Bekas Murid, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) hanya diberikan kuota terhad iaitu tidak melebihi 10 tempat bagi kemasukan Tingkatan Satu di 19 buah SBP.
Demikian ditegaskan kementerian itu dengan murid yang dipilih melalui kuota berkenaan tetap perlu memenuhi kriteria ditetapkan agar prinsip merit dan keadilan terus terpelihara.
“KPM sentiasa mengutamakan prinsip merit dan keadilan dalam proses pemilihan murid ke SBP,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KPM menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai kuota alumni dalam kemasukan pelajar ke SBP.
Malah Dr. Mohammed Taufiq menanyakan sama ada kementerian bercadang untuk mengkaji semula kuota berkenaan.
KPM menambah, pemilihan ke SBP dilaksanakan secara holistik melalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) sebagai asas utama.
Ia katanya, termasuk mengambil kira Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
“Selain itu status sosioekonomi (SES) keluarga murid,” jelasnya.
Tambahnya, pendekatan diguna pakai pihak kementerian akan membuka peluang kepada akses pendidikan berkualiti di SBP kepada murid yang berpotensi, tanpa mengira latar belakang mereka.
Jelasnya, KPM turut menetapkan 60 peratus daripada tawaran kemasukan SBP diberikan kepada murid berpotensi cemerlang daripada keluarga B40.

