Pasaran eksport bernilai RM198.65 bilion terjejas jika tidak runding dengan AS – Tengku Zafrul

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

PASARAN eskport bernilai RM198.55 bilion merentas pelbagai sektor yang menyokong ekonomi Malaysia berpotensi terjejas sekiranya Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak berunding atau mengambil tindakan balas tarif terhadap Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia termasuk industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain boleh menjejaskan jutaan pekerja di Malaysia.

Jelas beliau, pengenaan tarif timbal balas yang tinggi seperti 25 peratus pada 7 Julai 2025 dijangka akan memberi kesan langsung kepada permintaan produk Malaysia di pasaran AS jika tidak ditangani secara berhemah melalui rundingan.

Katanya, hal itu kerana kenaikan kadar tarif akan menyebabkan harga barangan Malaysia di pasaran AS tidak lagi kompetitif.

Selain itu, jelas Tengku Zafrul, terdapat kemungkinan besar pengimport AS akan berusaha untuk memindahkan beban tarif timbal balas tersebut kepada pengeksport Malaysia. 

“Sehubungan dengan ini, mengambil kira kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, kerajaan telah mengambil langkah strategik dengan memilih pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dalam menangani isu tarif timbal balas AS. 

“Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengambil pendekatan rundingan berasaskan diplomasi perdagangan bagi memastikan kepentingan nasional dilindungi tanpa berkompromi kepentingan negara sambil mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang strategik antara Malaysia dengan AS.

“Pendekatan ini telah membuahkan kejayaaan apabila rundingan telah dimuktamad dan ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald J Trump pada 26 Oktober 2025, di mana tarif timbal balas yang dikenakan pada 1 Ogos 2025 pada kadar 19 peratus telah dikekalkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai kesan perdagangan dua hala di antara Malaysia dan AS daripada tarif baharu yang diumumkan oleh Trump dan jumlah syarikat yang terlibat serta jumlah dagangan eksport dan import di antara kedua-dua negara sehingga suku ketiga tahun ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2025, nilai perdagangan Malaysia dengan AS telah mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 15.4 peratus kepada RM270.88 bilion berbanding dengan tempoh yang sama pada 2024 berjumlah RM234.68 bilion.

Katanya, berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, anggaran lebih 7,700 syarikat Malaysia terlibat dalam aktiviti eksport ke AS pada 2024 yang merangkumi bilangan pekerja seramai 1.1 juta orang, dengan barangan E&E sebagai penyumbang utama. 

Menurut beliau, Kerajaan Madani akan terus memperkasa tahap daya saing eksport melalui pengukuhan ekosistem eksport negara di bawah Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030.

Tengku Zafrul berkata, ia  sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dimana eksport diunjurkan akan melebihi RM2 trilion menjelang 2030, dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 5.8 peratus bagi tempoh lima tahun sehingga 2030.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Akses portal 2 Ahli Parlimen PKR disekat kerana pilih gerakan menentang kerajaan

PKR menegaskan tindakan menyekat akses portal MyKhas untuk dua Ahli Parlimennya adalah kerana mereka memilih untuk bersama dengan gerakan...

More Articles Like This