Lewat, malu buat laporan polis sukarkan proses siasatan jenayah siber

Dari Penulis

KELEWATAN dalam membuat laporan polis merupakan salah satu cabaran kritikal dihadapi pihak berkuasa, yang menyukarkan proses siasatan jenayah siber.

Demikian ditegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kekangan dan permasalahan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dalam talian yang kian membimbangkan.

Menurut kementerian itu, mangsa sering kali hanya melaporkan kes selepas transaksi kewangan selesai atau setelah kerugian besar berlaku.

“Keadaan ini menyebabkan usaha mengesan dan mendapatkan semula wang menjadi amat sukar, kerana wang tersebut selalunya telah dipindahkan dengan pantas oleh sindiket.

“Selain itu, terdapat juga segelintir mangsa yang enggan membuat laporan polis kerana berasa malu atau segan kerana telah ditipu dan ini menyebabkan data jenayah sebenar tidak dapat direkodkan sepenuhnya,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KDN menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai kekangan utama dihadapi pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan penipuan dalam talian yang semakin menjadi-jadi.

Teknik penyamaran spoofing

KDN menambah, sindiket penipuan dalam talian kini beroperasi dengan semakin canggih dan sofistikated, memanfaatkan teknologi terkini untuk melancarkan kegiatan jenayah mereka.

Mereka katanya, menggunakan teknik seperti penyamaran nombor telefon (spoofing), Voice over IP (VoIP) dan VPN untuk menyembunyikan identiti sebenar.

Malah jelasnya, sindiket turut menggunakan pelbagai platform komunikasi popular seperti Telegram, WhatsApp dan mencipta aplikasi palsu untuk memancing mangsa.

“Selain itu, cabaran yang lebih besar timbul kerana sindiket ini sering beroperasi secara rentas negara, menjadikannya sukar untuk dikesan secara fizikal.

“Penggunaan ‘layering account’ atau akaun berlapis dalam transaksi kewangan juga merupakan strategi licik yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aliran dana aktiviti jenayah tersebut,” katanya.

Jelas KDN, sikap dan tahap kesedaran keselamatan siber yang masih rendah dalam kalangan pengguna juga menjadi faktor penyumbang kepada penularan sindiket penipuan.

Katanya, ramai individu mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak munasabah seperti skim yang menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi dalam masa singkat.

“Mereka kurang pendedahan tentang keselamatan siber dan ancaman digital menyebabkan mangsa mudah terperangkap dan terpedaya dengan tipu helah.

“Keadaan ini secara tidak langsung membuka peluang luas kepada penjenayah untuk memperdaya dan mencuri data serta wang mangsa,” tegasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan kekal iktiraf kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

KERAJAAN Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah. Mengulas mengenai perkembangan...

More Articles Like This