PERHEBAT giat laksana inisiatif Kerjaya Kedua Perwira, sedia peluang kerja buat pesara ATM

Azrul Hakimie Anuer
Azrul Hakimie Anuer
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

Dari Penulis

PERBADANAN Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kini giat melaksanakan inisiatif Kerjaya Kedua Perwira, yang menyasarkan kerjasama strategik bersama 200 agensi serta menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, inisiatif turut menyasarkan pendapatan minimum RM2,200 bagi memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pihak industri perlu tampil sebagai rakan strategik pembangunan negara dengan membantu menjayakan inisiatif yang memberi impak baik ini. 

“Para pesara ATM ialah individu yang telah mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air yang menjadi tunjang kestabilan ekonomi Malaysia hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali (tengah) beramah mesra dengan Brigedier Jeneral Datuk Razali bin Zakaria TUDM (dari kiri), Mejar (B) Noor Azlan Husin, LK PRL Amanina Mohammad Alam Shah dan Sarjan Noor Hasliza Ramli selepas masing-masing menerima diploma dan sijil pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program  Recognition of Prior Experiential Learning – RPEL) dan Sijil PERHEBAT di Kem Sungai Buloh, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Maka, adalah tanggungjawab moral dan nasional sektor swasta untuk menghargai jasa mereka dengan menyediakan peluang pekerjaan serta kerjaya yang bermakna dan berkualiti.

“PERHEBAT akan terus memperkukuh ekosistem kerjaya veteran yang bersepadu, menghubungkan secara langsung bakal pesara ATM dengan pasaran kerja melalui pemadanan kemahiran, peningkatan latihan teknikal serta pembangunan kerjaya. 

“Saya yakin, keterlibatan aktif pemain industri merupakan faktor penentu dalam kejayaan Pelan Transformasi PERHEBAT,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program  Recognition of Prior Experiential Learning – RPEL) & Sijil PERHEBAT, hari ini. 

Teks ucapan Adly telah dibaca oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali. 

Terdahulu beliau menyampaikan Diploma Kemahiran Malaysia dan sijil kepada 593 anggota serta veteran dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi PERHEBAT, Prof Emerita Datuk Dr. Roziah Omar, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara), Pengerusi LTAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor, Ketua Pengarah PERHEBAT dan Laksdya Dato’ Pahlawan Ts. Shamsuddin Hj. Ludin, Timbalan Panglima Tentera Laut.

Adly dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada lebih 62 syarikat rakan industri, termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana telah mempercayai keupayaan perwira negara. 

Katanya, kerjasama ini amat penting dalam merealisasikan hala tuju kerjaya kedua bagi veteran ATM.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali menyampaikan sijil PERHEBAT (Smart Home Device) kepada Mejar (B) Noor Azlan Husin pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program  Recognition of Prior Experiential Learning – RPEL) dan Sijil PERHEBAT di Kem Sungai Buloh, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Saya difahamkan bahawa pada 25 September lalu, PERHEBAT telah berjaya menghantar kumpulan pertama bakal veteran ke Liuzhou, China melalui Program PLKIECRL, sebuah latihan antarabangsa dalam industri rel. 

“Usaha ini terhasil melalui kerjasama Public Private Partnership (PPP) melibatkan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Yayasan Pahang, UCYP University, Akademi Rel Pahang dan China Communications Construction Company (Malaysia) Sdn. Bhd.

“Seramai 10 peserta kini sedang mengikuti Kursus Railway Power Supply Technology selama satu tahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College.

“Mereka turut diberikan jaminan penempatan kerja bersama MRL dan CCCC (Malaysia) sebaik tamat pengajian, khususnya dalam  Projek ECRL – sebuah projek strategik nasional,” katanya lagi 

Beliau menegaskan, kejayaan ini membuktikan bahawa transformasi PERHEBAT telah pun bermula dan sedang menunjukkan hasil yang nyata. 

“Sekali lagi, saya menzahirkan penghargaan kepada seluruh kementerian, agensi kerajaan, syarikat GLC, GLIC dan rakan kongsi industri yang mendukung komitmen dalam memperkasa modal insan veteran ATM.

“Marilah kita terus berdoa dan berusaha agar segala inisiatif dalam membangunkan veteran ATM sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan penggerak ekonomi negara akan terus memberikan manfaat,” katanya. 

Pengalaman pembelajaran PERHEBAT berkualiti

Dalam pada itu, ketika ditemui UtusanTV salah seorang penerima sijil PERHEBAT iaitu Brigedier Jeneral Datuk Razali bin Zakaria TUDM berkata, tenaga pengajar disediakan merupakan pakar dalam bidang yang dipilih dan ia memberi manfaat besar kepada penuntut ketika menimba ilmu.

Selain itu, beliau yang telah berkhidmat bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 42 tahun menegaskan, kemudahan disediakan juga memenuhi keperluan untuk memasuki pasaran pekerjaan kelak.

Brigedier Jeneral Datuk Razali bin Zakaria TUDM

“Saya menyahut cabaran untuk menghabiskan proses peralihan di PERHEBAT dan saya lihat banyak perkara-perkara yang menarik di sini yang boleh diguna pakai semasa saya bersara nanti.

“Di PERHEBAT, ini merupakan satu tempat yang sesuai di mana kita sama-sama belajar dan mengeluarkan pandangan tanpa menggira kedudukan masing-masing.

“Di PERHEBAT ini alhamdulillah tenaga pengajar adalah pakar dan juga peralatan yang digunakan juga memenuhi keperluan kursus dan juga modul-modul yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, Mejar (B) Noor Azlan Husin melihat kemahiran yang beliau terima ketika melakukan latihan di PERHEBAT sebagai perancangan masa depan selepas bersara daripada perkhidmatan.

Mejar (B) Noor Azlan Husin

“Saya tamat latihan sijil PERHEBAT dalam kursus smart home device (kemudahan elektronik). (Mengapa ke arah itu) sebab saya ada latar belakang elektronik dan lebih selesa untuk ambil kursus ini.

“Tenaga pengajar sangat komited, bukan habis dekat sini saja lepas habis (latihan) pun memang kami berhubung, ada hubungan yang istimewa sebagai tempat rujukan, kalau ada masalah kita telefon cikgu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, LK PRL Amanina Mohamad Alam Shah yang meraih Diploma Kemahiran Malaysia menerusi program RPEL berkata, meskipun masih lama lagi untuk menamatkan perkhidmatan di TLDM namun beliau sudah mula memikirkan apa yang bakal dilakukan selepas bersara.

LK PRL Amanina Mohammad Alam Shah

“Kalau ikutkan apa yang saya ambil ini memang sama (dengan minat), dulu saya punya cita-cita nak jadi warden penjara dan saya ambil kursus ini pun berkenaan dengan warden penjara juga.

“Tentang masa hadapan itu saya sudah fikir masak-masak apa yang saya nak kerja, dan ini merupakan peluang cerah. Sebelum ini tak nampak lagi tapi sekarang saya sudah nampak apa saya nak buat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

LRT3 nadi mobiliti dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang

PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer memperkukuh jaringan rel di Petaling Jaya, Shah...

More Articles Like This