SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta seorang wanita yang dikaitkan dalam sebuah klip video melibatkan perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi memberi keterangan.
Menurut SPRM, kehadiran wanita terbabit amat penting bagi membantu siasatan kes yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
“SPRM kini sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan meminta agar individu ini dapat hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember ini,” jelasnya dalam kenyataan.
Selain itu, SPRM juga telah menghubungi Albert Tei dan meminta individu ini hadir ke Pejabat SPRM pada tarikh yang sama.
“SPRM ingin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh,” tambahnya.
Terdahulu SPRM memaklumkan akan menyiasat segera tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
Shamsul Iskandar sebelum ini mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.

