RUU Antibuli dibentang di Dewan Rakyat 1 Disember ini

Dari Penulis

BACAAN pertama Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia diluluskan Kabinet pada 21 November lalu dan taklimat terperinci akan diberikan kepada Ahli Parlimen bagi menerangkan struktur jawatankuasa, bidang kuasa tribunal serta mekanisme pelaksanaan.

Sehubungan itu jelas beliau, kerajaan berharap agar semua wakil rakyat dapat menyokong usaha murni ini demi memastikan perlindungan yang lebih kuat, menyeluruh dan berkesan kepada generasi muda negara.

“Penggubalan RUU Antibuli telah dilaksanakan melalui proses libat urus yang komprehensif. Bengkel penggubalan telah diadakan pada 9 Oktober di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dengan penyertaan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

“Selain itu, sebanyak 12 sesi town hall pada September dan Oktober melibatkan 300 hingga 400 peserta setiap sesi termasuk pengetua, guru, PIBG, agensi berkaitan serta murid dan pelajar institusi pendidikan tinggi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan merangka RUU baharu untuk menangani kejadian buli termasuk buli yang semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Takrifan undang-undang jelas

Azalina memberitahu, RUU Antibuli memperkenalkan beberapa ciri utama yang menjadi teras kepada usaha membanteras buli dengan lebih menyeluruh dan responsif.

“RUU ini buat kali pertama memberikan takrifan undang-undang yang jelas dan komprehensif terhadap perbuatan buli, merangkumi elemen fizikal, lisan dan juga dalam talian.

“Dengan adanya takrifan yang seragam ini, semua pihak, sama ada institusi pendidikan atau institusi, penguat kuasa, ibu bapa atau masyarakat mempunyai rujukan yang konsisten dalam aspek pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan,” katanya.

Menurutnya, bagi mengisi jurang apabila sesuatu kes tidak dapat diselesaikan oleh jawatankuasa institusi pendidikan, RUU ini menubuhkan Tribunal Antibuli.

Tribunal ini katanya, diberi mandat untuk menyediakan remedi seperti perlindungan, kaunseling dan pemulihan melalui proses yang tidak adversarial serta direka khusus untuk menjadi mesra kanak-kanak.

Katanya, pendekatan ini memastikan tiada mangsa tercicir daripada perlindungan yang sewajarnya.

“Kerajaan kini berada pada fasa akhir penggubalan RUU Antibuli bagi memperkukuh usaha pencegahan serta perlindungan terhadap isu buli, khususnya dalam kalangan kanak-kanak bagi Fasa Pertama.

“Intipati RUU ini telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat pada 19 November sebagai sebahagian daripada konsultasi Parlimen,” tambahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Penunggang maut dirempuh motosikal ketika lintas persimpangan lampu isyarat

SEORANG penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di persimpangan lampu isyarat jejantas atas Jalan Johor...

More Articles Like This