MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokthar mengeluarkan notis tuntutan (NoD) terhadap seorang individu berhubung penerbitan satu kandungan Facebook yang mengaitkannya sebagai dalang aktiviti songsang dalam negara.
Mohd Na’im dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan itu sebagaimana dinyatakan oleh pihak peguam dalam notis tersebut mengandungi dakwaan yang tidak berasas.
Selain itu, katanya, ia juga membawa maksud yang boleh merosakkan reputasi, maruah serta kedudukan beliau sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia.
“Sehubungan itu, tindakan undang-undang yang diambil adalah bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa semua dakwaan yang ditularkan adalah palsu dan tidak berlandaskan sebarang fakta. Penyebaran fitnah adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang dan bertentangan dengan nilai Islam yang menuntut keadilan serta larangan keras terhadap tohmahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, tindakan undang-undang diambil menurut hak beliau sebagai warganegara dan bertujuan bukan untuk menghukum sesiapa secara peribadi, tetapi untuk memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, manipulasi persepsi dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat melalui maklumat palsu.
Katanya, beliau menghormati proses undang-undang dan tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntakan undang-undang sedia ada.
“Fokus utama saya kekal kepada tugas amanah sebagai seorang Menteri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia MADANI, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara.
“Akhirnya, saya menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa berwaspada dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Semak sebelum kongsi, dan utamakan adab serta akhlak dalam berinteraksi di media sosial,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

