DALAM usaha memastikan kelangsungan dakwah Islam seiring cabaran dunia media masa kini, TV AlHijrah mengambil langkah berani memperkenalkan Wakaf Media, hasil kerjasama strategik bersama Yayasan Wakaf Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, Inisiatif itu lahir daripada kesedaran bahawa kebergantungan sepenuhnya kepada dana kerajaan bukan lagi satu pilihan jangka panjang, khususnya dalam landskap media yang semakin mencabar.

“Realitinya hari ini sangat sukar. Kita tidak boleh selamanya bergantung kepada dana kerajaan.
“Sebab itu kita membuka ruang kepada umat Islam untuk bersama-sama menyokong dakwah melalui medium yang sangat berkuasa, iaitu media,” katanya kepada URTV.
Menurut Namanzee, konsep Wakaf Media diperkenalkan bagi memberi peluang kepada umat Islam untuk terlibat secara langsung dalam memperkasa kandungan dakwah, bukan sahaja di televisyen, malah merangkumi semua platform media termasuk digital, media sosial, aplikasi dan kandungan atas talian.
“Media hari ini bukan sekadar di televisyen. Anak-anak kita semua ada telefon di tangan. Sebab itu ia dipanggil wakaf media, bukan wakaf penyiaran,” ulasnya.
Jelasnya, idea wakaf ini telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu, namun istilah ‘penyiaran’ dirasakan tidak lagi sesuai kerana dakwah masa kini merentas pelbagai platform media.
Pada peringkat awal, Wakaf Media akan memfokuskan kepada penghasilan kandungan berteras al-Quran dan Hadis, iaitu program Quran 114 dan Hadis 114, dengan kos penerbitan sekitar RM1.5 juta setahun.
Semua dana wakaf akan dipantau sepenuhnya oleh Yayasan Wakaf Malaysia bagi memastikan pematuhan syariah dan ketelusan pengurusan.
“Dana ini diuruskan oleh pemegang amanah yang sah. Apabila ada yayasan persekutuan yang memantau, kami boleh melaksanakan amanah ini dengan penuh keyakinan,” katanya.
Menariknya, setiap kandungan yang dihasilkan melalui wakaf ini bukan lagi hak eksklusif TV AlHijrah, sebaliknya menjadi hak milik umat Islam, dan boleh dimanfaatkan oleh mana-mana institusi, masjid atau pusat pengajian bagi tujuan pendidikan dan dakwah.
Mengulas perancangan jangka panjang, Namanzee tidak menafikan hasrat agar satu hari nanti TV AlHijrah mampu beroperasi sepenuhnya melalui dana wakaf.
“Mungkin lima, 10 atau 20 tahun lagi, hasrat kami adalah melihat keseluruhan operasi TV AlHijrah daripada pengurusan, bangunan hingga kandungan dibiayai 100 peratus melalui wakaf.
“Apabila itu berlaku, umat Islam akan memiliki media yang benar-benar berkuasa,” ujarnya.
Malah, pihaknya percaya kekuatan sebenar dakwah hanya mampu bertahan sekiranya disokong oleh umat Islam sendiri, selari dengan matlamat menjadikan media sebagai wasilah syiar Islam yang berterusan.
Majlis pelancaran program itu yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya turut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Ujarnya, wakaf merupakan amalan jariah yang biarpun dilihat kecil tetapi cukuo memberi manfaat besar sepanjang masa.
Malah, dia juga berpendapat peranan media dalam era digital ketika ini amat penting terutama sebagai medium menyampaikan mesej Islam yang tepat.
“Apabila digandingkan dengan medan dakwah dan penyiaran Islam, ia diibaratkan sebagai benih kebaikan yang terus subur selagi ilmu disampaikan dan masyarakat dibimbing ke arah kebaikan.
“Melalui Wakaf Media, dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi membiayai penerbitan kandungan ilmiah Islamik, pembangunan aset dan fasiliti penyiaran, selain dilaburkan dalam instrumen patuh syariah bagi memastikan manfaat wakaf dapat dinikmati secara berterusan,” jelasnya.

Dr. Zulkifli turut mengumumkan pembukaan Tabung Dana Wakaf Media kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.
“Semua pihak termasuk syarikat korporat, agensi kerajaan, usahawan dan orang awam agar bersama-sama menyumbang kepada usaha dakwah melalui wakaf, walaupun dengan nilai sumbangan yang kecil.
“Pelaksanaan program ini juga selari dengan agenda Malaysia MADANI, khususnya pendekatan MADANI Membantu, yang membuka ruang kepada rakyat untuk menyokong pembangunan insan berteraskan ilmu, nilai dan ihsan melalui penyebaran al-Quran dan hadis sebagai amal jariah berterusan,” ungkapnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

