MOHD Kurniawan Naim Moktar, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan menang kerusi Parlimen Kinabatangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan hari ini.
Ia diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menerusi hantaran di Facebook.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag juga turut dimenangi calon BN, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha.
“Tahniah kepada saudara Naim dan Miha atas kemenangan dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Kejayaan ini merupakan manifestasi kepercayaan rakyat yang mahukan kepimpinan yang stabil, berintegriti serta berkeupayaan membawa suara dan kepentingan mereka dengan penuh tanggungjawab,” jelas Arthur.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera Kerajaan Perpaduan Sabah yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
“Semangat kebersamaan dan pengorbanan setiap pihak menjadi asas kepada kejayaan ini.
“Kemenangan ini juga melambangkan kesatuan kepimpinan, kematangan kerjasama politik serta keyakinan rakyat terhadap kestabilan dan hala tuju pembangunan di Sabah. Apabila pemimpin bersatu, rakyat akan memberikan kepercayaan.
“Buat Naim dan Miha, amanah yang diberikan ini perlu digalas dengan penuh tanggungjawab dan iltizam yang tinggi, demi memastikan Kinabatangan dan Lamag terus dibela, diperkasa dan dimajukan secara berterusan,” katanya.
Berita kemenangan Naim dan Miha turut diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Keputusan tidak rasmi setelah dikira semua saluran (menyaksikan) BN menang di Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 14,214, (manakala) DUN Lamag menang majoriti 5,681,” katanya melalui status dimuat naik di Facebook.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu.

