LELAKI yang memakai kostum duyung di sebuah gerai menjual air balang di Pengkalan Chepa telah ditahan pada Isnin lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di sekitar Chekok, Pasir Mas.
“Hasil siasatan yang dijalankan, JAHEAIK mengenal pasti individu terbabit dan membuka satu kertas siasatan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
“Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak seperti perempuan serta Seksyen 21 enakmen itu iaitu membabitkan perbuatan tidak sopan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, selepas proses dokumentasi serta siasatan, lelaki itu dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun depan bagi prosiding seterusnya.
Jelasnya, lelaki itu diupah sebanyak RM200 oleh pemilik gerai air balang untuk menghasilkan video promosi, manakala pemilik gerai diberikan notis untuk memadam kandungan terbabit.
“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa segala perbuatan yang bertentangan dengan nilai-nilai syariah serta norma masyarakat akan ditangani secara tegas serta berhemah dan mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti duyung sambil berjoget di hadapan sebuah gerai menjual air balang dipercayai sebagai kandungan promosi bagi melariskan jualan.
Rakaman berkenaan tular menerusi Facebook dan menerima kecaman netizen yang menyifatkan perbuatan itu memalukan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

