PINDAAN untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun merupakan reformasi yang mencerminkan keberanian politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pindaan ini memperkukuhkan sistem semak dan imbang serta memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib dan berprinsip.
“Buat pertama kali, kuasa tertinggi eksekutif diletakkan secara jelas dalam had masa di bawah Perlembagaan. Demokrasi yang matang menuntut batas terhadap kuasa.
“Langkah ini mengurangkan risiko penumpuan kuasa yang berpanjangan dan memperkukuh keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kestabilan institusi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kata Perdana Menteri lagi, menerusi keputusan ini juga kesinambungan negara dipastikan melalui kekuatan sistem dan bukannya kebergantungan kepada individu.
“Kerajaan MADANI memilih untuk menghadkan jawatan Perdana Menteri, sekali gus menghadkan kuasa yang sedang saya pegang sebagai tanda bahawa kepimpinan adalah amanah yang tertakluk kepada akauntabiliti.
“Insya-Allah, pindaan ini akan menjadi titik perubahan penting dalam demokrasi negara. Malaysia memilih untuk memperkukuh institusi dan memelihara keluhuran Perlembagaan demi generasi akan datang,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

