Kualiti petrol bersubsidi masih sama sebelum pelarasan – KPDN

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada perbezaan dari segi kualiti dan kuantiti petrol RON95 yang dijual di pasaran, sama ada sebelum atau selepas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol yang boleh merugikan pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan pada 30 September 2025 tidak melibatkan sebarang perubahan ke atas spesifikasi atau formulasi petrol, sebaliknya hanya melibatkan mekanisme penyaluran dan kawalan subsidi.

Jelas beliau, KPDN telah mendapatkan sampel-sampel daripada semua jenama minyak RON95 untuk menentukan tahap kualiti petrol selepas Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) diperkenalkan dan telah dihantar kepada Jabatan Kimia bagi pengujian untuk mengesahkan kualiti petrol tersebut.

Menurut Armizan, hasil analisis yang dilaksanakan oleh Jabatan Kimia mendapati semua cerakinan atau sampel minyak petrol RON95 berada pada kualiti yang ditetapkan dan menepati spesifikasi industri.

“KPDN telah melaksanakan pemantauan di peringkat runcit termasuk pemeriksaan berkala di stesen minyak bagi memastikan pematuhan selaras dengan peruntukan di bawah perundangan yang dikuatkuasakan.

“Pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa berdasarkan aduan yang diterima di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] serta Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71],” katanya menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai perbezaan kualiti petrol bersubsidi berbanding sebelum pelarasan subsidi serta mekanisme pemantauan piawaian yang diguna pakai.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pegawai penguat kuasa KPDN telah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut susulan dakwaan kekurangan kuantiti minyak petrol RON95 yang tular sebelum ini.

Katanya, tindakan yang dijalankan termasuklah pemeriksaan ke atas pam minyak dan semakan rekod jualan.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

Armizan berkata, KPDN turut melakukan pemeriksaan di tujuh buah depoh syarikat minyak pada November 2025 dan mendapatkan pensampelan susulan isu yang ditimbulkan berkaitan kuantiti dan kualiti petrol RON95.

Ujarnya, pensampelan itu juga turut melibatkan lima jenama RON95.

“Selain itu, pemantauan oleh KPDN ini turut dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama syarikat yang dilantik untuk melaksanakan tugas-tugas penentusahan termasuk di stesen-stesen minyak, di samping
pelaksanaan persampelan dan siasatan sekiranya terdapat aduan ketidakpatuhan.

“Tindakan tegas boleh diambil ke atas pengusaha stesen minyak sekiranya didapati melanggar peruntukan undang-undang yang
berkuatkuasa,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ismael Saibari jadi wira, Maghribi kecewakan Belanda langkah ke pusingan 16

MAGHRIBI meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 selepas berjaya menewaskan Belanda 3-2 dalam penentuan sepakan penalti,...

More Articles Like This