ANGKA kematian akibat daripada serangan udara yang dilancarkan oleh Israel sejak lima hari lalu kini sudah melebihi 1,000 orang, pada ketika Teheran menggandakan serangan balas dan memberi amaran tentang kemusnahan infrastruktur ketenteraan serta ekonomi di seluruh Asia Barat.
Menurut agensi berita Tasnim, serangan rejim Zionis semalam menyasarkan ibu negara Teheran, bandar suci Qom, barat serta di seluruh wilayah Isfahan tengah Iran dan telah memusnahkan banyak kediaman.
Al Jazeera melaporkan Israel turut menyerang bangunan milik Basij, pasukan separa tentera polis sukarelawan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta bangunan yang berkaitan dengan arahan keselamatan dalaman Iran.
Jumlah kematian sejak serangan Amerika Syarikat dan rejim Zionis pada Sabtu lalu telah mencecah 1,045 orang, lapor media kerajaan Iran.
Melaporkan dari Teheran, Mohamed Vall dari Al Jazeera berkata, orang awam menanggung beban serangan dan menyatakan bahawa negara itu sedang diserang dari setiap arah.
“Terdapat kempen berterusan di seluruh negara yang tidak terlepas daripada mana-mana wilayah, bandar atau kawasan.
“Tetapi kita tahu 300 kanak-kanak dan remaja telah dimasukkan ke hospital…dengan lebih daripada 6,000 orang cedera,” tambahnya.
Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) melaporkan, kerosakan akibat serangan juga dapat dilihat di dua bangunan berhampiran tapak nuklear Isfahan.
Namun begitu, katanya lagi, setakat ini tidak terdapat kerosakan pada kemudahan yang mengandungi bahan nuklear dan tiada risiko pelepasan radiologi.

