SEORANG lelaki warga emas dan anak saudaranya maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Ford Ranger dipandu lelaki positif dadah di Jalan Rencong, Lenga, Muar, semalam.
Kemalangan pukul 8.42 pagi itu menyebabkan penunggang, Norman Ahmad, 47 dan bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77 meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan, kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Ford Ranger dipandu lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan semasa melalui selekoh di jalan tersebut.
Raiz Mukhliz berkata, Ford Ranger yang dalam perjalanan dari arah Pagoh menghala ke Lenga itu telah bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal lelaki berumur 47 tahun dan pembonceng lelaki berumur 77 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke HPSF Muar sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Raiz Mukhliz berkata, pemeriksaan lanjut ke atas pemandu Ford Ranger tersebut telah menemukan bahan disyaki dadah iaitu 20 biji pil eramin 5 seberat 5.15 gram dan syabu seberat 0.39 gram.
Pada masa sama, katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau memberitahu, suspek telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaduh dadah atau bahan memabukkan sehingga menyebabkan kematian.
“Selain itu, ia juga disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(A) ADB 1952,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

