SERAMAI 81 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk secara berani menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran sah di sekitar kawasan Pandan, Johor, pagi tadi.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus memaklumkan, kesemua warga asing itu ditahan menerusi pelaksanaan Ops Belanja, Ops Kutip dan Ops Selara yang menyasarkan premis perniagaan bermula pada pukul 10 pagi tadi.
Menurut Mohd Rusdi, operasi itu melibatkan sepasukan pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Bertindak atas maklumat awam dan risikan, beliau berkata, operasi yang dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan itu mendapati terdapat warga asing secara berani menjalankan aktiviti penjualan barangan seperit buah, ayam segar, daging dan ikan di premis kedai runcit.
“Pada masa sama, terdapat premis makanan yang dikenal pasti menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Aktiviti ini jelas melanggar peraturan kerana dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah daripada agensi berkaitan.
“Malah, ada di antara mereka dikesan bertindak sebagai pengusaha dan pekerja sepenuhnya di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rusdi berkata, seramai 81 orang yng ditahan itu berusia dalam linkungan 17 hingga 52 tahun.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 46 lelaki dewasa warganegara Bangladesh; seorang warganegara India; 10 warga Pakistan; 23 lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warga Nepal.
Katanya, kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebanyak enam keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

