KESUMA di fasa akhir persediaan kuat kuasa Akta Pekerja Gig 2025 pada 31 Mac ini

Azrul Hakimie Anuer
Azrul Hakimie Anuer
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

Dari Penulis

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) kini berada di fasa akhir persediaan menjelang penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang dijadualkan berkuat kuasa sepenuhnya pada 31 Mac ini.

KESUMA memaklumkan, antara langkah utama yang sedang dilaksanakan ialah penubuhan Majlis Perundingan Gig, iaitu sebuah platform tripartit menghimpunkan wakil kerajaan, pekerja gig serta entiti kontrak.

Jelasnya, majlis ini berperanan menasihati dan mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula serta standard minimum yang akan diguna pakai dalam sektor gig.

“Selain itu, majlis ini turut berfungsi sebagai platform dialog, rundingan dan nasihat dasar berhubung isu-isu yang timbul dalam ekosistem ekonomi gig.

“Majlis Perundingan Gig akan dipengerusikan oleh KESUMA sebagai kementerian peneraju yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dasar dan pelaksanaan Akta 872,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KESUMA sambut baik penubuhan SEGiM

Pada masa sama, KESUMA menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan penyelaras utama bagi memperkukuh tadbir urus ekosistem ekonomi gig di negara ini.

“Pada peringkat ini, skop SEGiM tertumpu kepada pekerja gig yang beroperasi melalui platform digital.

“Walau bagaimanapun, melalui Akta 872 di bawah KESUMA, perlindungan yang diperkenalkan adalah lebih menyeluruh kerana merangkumi kedua-dua pekerja gig berplatform dan juga pekerja gig bukan platform,” katanya lagi.

Bagi memastikan kesinambungan antara peranan Majlis Perundingan Gig dan SEGiM serta mengelakkan pertindihan fungsi, KESUMA turut mengemukakan pencalonan wakil pegawai awam melalui Pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk menganggotai majlis tersebut.

“Penyertaan ini diyakini dapat memperkukuh penyelarasan dasar dan tadbir urus sektor gig negara secara lebih menyeluruh.

“Selain itu, Akta 872 turut memperkukuh aspek perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja gig,” katanya.

Akta 872 wajibkan penyedia platform daftar pekerja gig di bawah PERKESO

Dalam pada itu, KESUMA memaklumkan melalui peruntukan Akta 872, penyedia platform mempunyai kewajipan untuk memastikan pendaftaran pekerja gig di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Selain itu, katanya, penyedia platform perlu membuat potongan daripada pendapatan pekerja gig bagi tujuan caruman kepada skim keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Mekanisme ini dijangka dapat meningkatkan jumlah pekerja gig yang mencarum dan memastikan mereka layak menerima perlindungan sekiranya berlaku kemalangan semasa menjalankan perkhidmatan,” katanya.

Tribunal Pekerja Gig

Sebagai sebahagian daripada langkah persediaan menjelang penguatkuasaan Akta 872, KESUMA turut memperkenalkan beberapa mekanisme penting termasuk penubuhan Tribunal Pekerja Gig.

Ia bagi menyediakan saluran penyelesaian pertikaian yang lebih cepat, telus dan mudah diakses oleh pekerja gig.

Pada masa yang sama, jelasnya, garis panduan pelaksanaan juga sedang disediakan kepada penyedia platform bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta 872 dapat dilaksanakan secara teratur dan konsisten.

“Ke hadapan, KESUMA akan terus bekerjasama rapat dengan SEGiM serta semua pemegang taruh termasuk pemain industri, wakil pekerja gig dan agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan Akta 872 berjalan lancar.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan perkembangan ekonomi digital negara sentiasa seiring dengan perlindungan sosial yang adil dan mampan.

“Penubuhan SEGiM serta penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 merupakan langkah penting dalam memastikan fleksibiliti ekonomi gig dapat terus berkembang tanpa mengabaikan kebajikan dan keselamatan pekerja,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah di Sungai Petani

ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan...

More Articles Like This