Harga minyak global hampiri AS$100, Malaysia bersedia hadapi kesan ekonomi?

Dari Penulis

KETEGANGAN geopolitik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Rantau Asia Barat merupakan antara pusat pengeluaran tenaga dunia, justeru sebarang konflik di kawasan tersebut sering mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran minyak, perdagangan antarabangsa dan aliran pelaburan.

Berdasarkan pengalaman konflik terdahulu seperti Perang Teluk (1990–1991) dan Perang Iraq (2003), konflik baharu ini dijangka membawa kesan campuran kepada ekonomi Malaysia dari segi harga minyak, pertumbuhan ekonomi, nilai mata wang, perdagangan serta pelaburan asing.

Salah satu kesan paling ketara ialah lonjakan harga minyak dunia. Semasa Perang Teluk 1990–1991, harga minyak meningkat daripada sekitar AS$20 kepada hampir AS$40 setong, iaitu peningkatan kira-kira 100 peratus (%).

Situasi yang hampir sama berlaku semasa Perang Iraq 2003 apabila harga minyak meningkat sekitar 19% kepada kira-kira AS$30 setong.

Sekiranya konflik antara AS, Israel dan Iran berlarutan, harga minyak dunia yang kini sekitar AS$90 setong berpotensi meningkat kepada sekitar AS$100 setong atau lebih, iaitu peningkatan kira-kira 33% berbanding sekitar AS$75 setong pada akhir Februari lalu.

Kenaikan harga minyak ini dijangka memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia memandangkan negara merupakan antara pengeluar minyak dan gas melalui Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Hasil eksport petroleum yang meningkat berpotensi meningkatkan pendapatan negara serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pengalaman lalu menunjukkan bahawa kenaikan harga minyak boleh memberi rangsangan kepada ekonomi Malaysia.

Sebagai contoh, semasa Perang Iraq 2003, pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat daripada sekitar 4.8% pada tahun 2002 kepada 5.8% pada 2003 apabila harga minyak dunia meningkat dan perdagangan global pulih.

Pertumbuhan ekonomi meningkat

Berdasarkan situasi semasa, sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan harga minyak kekal tinggi, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka boleh meningkat daripada sekitar 4.5% kepada antara 5% hingga 6%.

Peningkatan ini didorong oleh pertambahan hasil eksport tenaga serta peningkatan pendapatan kerajaan daripada sektor petroleum.

Selain pertumbuhan ekonomi, konflik geopolitik juga boleh mempengaruhi nilai ringgit berbanding dolar AS.

Dalam keadaan ketidaktentuan global seperti peperangan, pelabur antarabangsa lazimnya beralih kepada dolar AS kerana mata wang tersebut dianggap sebagai ‘mata wang selamat’ (safe-haven currency).

Hal demikian kerana dolar AS merupakan mata wang rizab utama dunia dan digunakan secara meluas dalam perdagangan antarabangsa, khususnya perdagangan minyak. – Mohd Naseem Niaz Ahmad

Oleh itu, peningkatan permintaan terhadap dolar AS semasa konflik geopolitik boleh menyebabkan mata wang negara membangun, termasuk ringgit, mengalami tekanan dalam jangka pendek.

Pengalaman konflik terdahulu turut menunjukkan corak yang sama. Semasa Perang Teluk, ketidaktentuan ekonomi global menyebabkan mata wang negara membangun mengalami tekanan apabila pelabur beralih kepada dolar AS sebagai aset selamat.

Namun semasa Perang Iraq pada 2003, ringgit kekal stabil kerana Malaysia ketika itu menambat nilai mata wang pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar AS.

Dalam konflik semasa, nilai ringgit dijangka mengalami turun naik bergantung kepada reaksi pasaran global.

Jika kenaikan harga minyak meningkatkan hasil eksport tenaga Malaysia, ringgit berpotensi mengukuh sedikit daripada sekitar RM3.94 kepada RM3.85 bagi setiap dolar AS.

Sebaliknya, jika ketidaktentuan geopolitik menyebabkan pelabur global beralih kepada dolar AS sebagai aset selamat, ringgit mungkin melemah kepada sekitar RM4.05 hingga RM4.10 bagi setiap dolar AS.

Dari segi perdagangan pula, kesannya bergantung kepada tempoh dan tahap konflik.

Laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz, yang mengendalikan hampir 20% perdagangan minyak dunia, boleh terjejas sekiranya konflik semakin meluas.

Dalam sejarah, perdagangan global menjadi perlahan semasa Perang Teluk akibat ketidaktentuan pasaran tenaga.

Sebaliknya selepas Perang Iraq 2003, perdagangan Malaysia meningkat daripada kira-kira RM615 bilion pada 2002 kepada RM684 bilion pada 2003, peningkatan hampir 11% apabila ekonomi global kembali pulih.

Dalam situasi konflik semasa, jika perang berlaku dalam tempoh singkat, perdagangan Malaysia mungkin terus berkembang daripada sekitar RM2.6 trilion kepada RM2.7 trilion, iaitu peningkatan sekitar 3% hingga 4%.

Namun sekiranya konflik berlarutan dan menjejaskan permintaan global, jumlah perdagangan negara berpotensi menurun kepada sekitar RM2.5 trilion, iaitu penurunan kira-kira 3% hingga 5%.

Konflik ini juga berpotensi mempengaruhi aliran pelaburan asing ke Malaysia. Ketika ketegangan geopolitik meningkat, pelabur antarabangsa biasanya mencari negara yang lebih stabil untuk melindungi pelaburan mereka.

Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada situasi ini kerana kestabilan politik, kemudahan infrastruktur dan kedudukannya sebagai hab perdagangan di Asia Tenggara.

Sebagai contoh, selepas Perang Iraq 2003, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia meningkat daripada kira-kira RM11 bilion kepada RM13 bilion.

Dalam situasi konflik semasa, pelaburan asing ke Malaysia dijangka boleh meningkat sekitar 5% hingga 10% sekiranya negara dilihat sebagai destinasi pelaburan yang stabil.

Namun begitu, jika ketidaktentuan ekonomi global semakin serius, pelabur mungkin menangguhkan keputusan pelaburan dan menyebabkan aliran FDI menurun sekitar 3% hingga 6%.

Walaupun terdapat potensi manfaat ekonomi, konflik ini juga membawa risiko kepada rakyat Malaysia. Kenaikan harga minyak dunia boleh meningkatkan kos pengangkutan dan seterusnya mendorong kenaikan harga barangan serta makanan.

Akibatnya, kadar inflasi Malaysia yang kini sekitar 2.5% berpotensi meningkat kepada antara 3.5% hingga 4%. Selain itu, kerajaan mungkin perlu menanggung kos subsidi bahan api yang lebih tinggi sekiranya harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 setong.

Kesimpulannya, konflik antara AS, Israel dan Iran berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia, sama seperti yang berlaku semasa Perang Teluk dan Perang Iraq.

Malaysia mungkin memperoleh manfaat daripada kenaikan harga minyak yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan hasil eksport tenaga.

Namun pada masa yang sama, negara juga berdepan risiko seperti peningkatan inflasi, ketidaktentuan perdagangan global serta turun naik nilai mata wang.

Oleh itu, kesan sebenar terhadap ekonomi Malaysia bergantung kepada tempoh serta tahap intensiti konflik yang berlaku di Asia Barat.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pelajar perempuan Tingkatan Empat maut terjatuh bangunan sekolah di Sendayan

SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Sendayan, Seremban, hari ini. Ketua...

More Articles Like This