PERMOHONAN MIC untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai satu daripada parti komponen telah pun diluluskan dalam mesyuarat gabungan itu, Sabtu lalu.
Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Menurut Takiyuddin, pihaknya akan menyampaikan surat rasmi kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, malam ini mengenai keputusan tersebut.
“Saya sahkan untuk berjumpa dengan Presiden MIC malam ini untuk menyerahkan surat rasmi bahawa mereka diterima sebagai parti anggota PN.
“Kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin memberitahu, lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai PN.
Beliau berkata, kemasukan MIC akan menyaksikan pimpinan baharu PN lebih inklusif.
Katanya, ia memandangkan pelantikan jawatan diberikan adalah menyeluruh membabitkan pelbagai parti.
“Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah PAS dan BERSATU, namun kini menyeluruh. Malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin akan diberi jawatan.
“Sekarang ini selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga bukak kepada NGO dan ahli bersekutu.
“Dalam PN ada tiga kategori iaitu parti anggota, ahli bergabung iaitu NGO atau parti yang mesra kepada PN dan ahli bersekutu terdiri daripada individu,” katanya.

