EMPAT pemimpin berbangsa Melayu dari DAP menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran bertemu Arun Dorasamy ketika aktivis itu dituduh di Kompleks Mahkamah Jawi di Pulau Pinang, semalam.
Empat pemimpin tersebut adalah Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Sheikh Umar, Young Syefura dan Syahredzan juga merupakan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Dalam kenyataan bersama, keempat-empat mereka menyifatkan tindakan Kulasegaran tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi menggalas kapasiti sebagai seorang timbalan menteri.
Menurut mereka, tindakan itu telah mengundang polemik awam megnenai integriti sistem perundangan negara.
“Kami ambil maklum tentang penjelasan beliau mengenai isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada masa sama, keempat-empat pemimpin itu turut menegaskan bahawa tindakan solidariti terhadap Arun Dorasamy tidak mewakili pendirian DAP.
Mereka mengesahkan bahawa tiada sebarang keputusan parti untuk menyatakan sebarang kecenderungan terhadap isu ini.
“Dalam hal ini, kami berpendirian bahawa DAP harus mengambil pendekatan jalan tengah iaitu mempertahankan prinsip keadilan dan innocent untuk proven guilty serta keabsahan proses undang-undang.
“Selain itu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan,” katanya.
Semalam, Kulasegaran menafikan beliau berada dalam mahkamah ketika prosiding membabitkan Arun berlangsung.
Sebaliknya, beliau memberitahu hanya bertemu secara ringkas dengan individu itu di luar Mahkamah Majistret Jawi.
Tindakan Kulasegaran mencetuskan reaksi negatif pemimpin daripada pelbagai parti politik memandangkan kedudukannya sebagai timbalan menteri.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

