MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meluangkan masa menziarahi balu dan keluarga penunggang motosikal yang terbunuh selepas dirempuh seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, Ahad lalu.
Dalam hantaran di Facebook, Anthony Loke turut menyampaikan sedikit sumbangan kewangan secara peribadi kepada balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar iaitu Nor Nadia Abdul Majid, 32.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung keluarga mangsa.
“Namun tiada nilai wang ringgit yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, lebih-lebih lagi buat seorang isteri yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi.
“Saya amat memahami kesedihan yang dirasai dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta solidariti kami bersama keluarga arwah dalam menghadapi saat yang sukar ini.
“Semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Ahad lalu, Amirul Hafiz, 33, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang.
Akibat pelanggaran itu, Amirul Hafiz melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Semalam, seorang pemuda berusia 28 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz.
Tertuduh, R Saktygaanapathy yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

