SEORANG pemandu bas yang memandu sambil seorang wanita duduk di atas riba dalam rakaman video tular telah ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu disahkan syarikat pengendali bas ekspres tersebut iaitu Sri Maju Group dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sri Maju Group, insiden tersebut telah berlaku ketika bas milik syarikat itu sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru, semalam.
Pada masa sama, syarikat itu menyifatkan kejadian itu sebagai amat mengecewakan, membimbangkan dan sama sekali tidak boleh diterima.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis juga telah dibuat terhadap pemandu berkenaan.
Selain itu, Sri Maju Group juga telah melaporkan insiden itu kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan sedang memberikan kerjasama penuh berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
“Kami dengan ini memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang yang terlibat serta orang awam.
“Setiap pengguna perkhidmatan awam berhak menerima perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab dan profesional pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Keselamatan, keselesaan keutamaan tertinggi
Mengulas lanjut, Sri Maju Group menegaskan keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi syarikat berkenaan.
Jelasnya, tingkah laku yang dipaparkan dalam video berkenaan juga merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard (SOP) syarikat selain bercanggah dengan tata etika profesional yang telah ditetapkan.
Selama ini, Sri Maju Group memaklumkan sentiasa berusaha untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan serta sokongan pelanggan.
Syarikat itu juga meluahkan rasa kesal insiden tersebut berlaku sedangkan pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan telah pun dilaksanakan.
Justeru, syarikat itu menjelaskan, sistem pengawasan video bagi pemandu dan di dalam bas telah dipasang pada bas-bas baharu.
“Kerja pemasangan sistem pengawasan video bagi bas sedia ada sedang dilaksanakan dengan kadar segera.
“Kami sama sekali tidak bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa penumpang kami.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan mengambil segala langkah yang perlu serta sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, tular satu video dipercayai dirakam penumpang bas menunjukkan seorang wanita duduk di atas riba pemandu terbabit ketika bas berkenaan sedang bergerak.
Wanita berkenaan juga dilihat mengendalikan stereng kenderaan terbabit yang sedang bergerak di lebuh raya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

