SEORANG pemandu bas persiaran yang disyaki melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh tiga kenderaan lain di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya direman selama tiga hari sehingga esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.06 malam, Sabtu lalu.
Menurut Shamsudin, siasatan awal mendapati kemalangan yang turut tular di media sosial itu berlaku kira-kira pukul 6.20 petang, Sabtu lalu.
“Sebuah bas jenis Nissan berwarna putih didapati telah melanggar lampu isyarat merah sebelum terlibat kemalangan dengan tiga buah kereta lain serta turut menyebabkan kerosakan.
“Akibat kemalangan itu, seorang pemandu kereta telah mengalami kecederaan ringan manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu bas warga tempatan itu telah pun ditahan selepas itu,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
“Polis tidak akan berkompromi kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna yang melanggar undang-undang.
“Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim di talian 012-5653395 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

