KESEMUA 14 menara komunikasi milik CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan telah kembali beroperasi dan mula menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan ia susulan laporan yang diterima pada 11 April lalu berhubung gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, gangguan tersebut berpunca daripada aktiviti vandalisme dan kecurian ke atas sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di kawasan terbabit.
“Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, gangguan turut menjejaskan 13 menara komunikasi lain serta hampir 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, MCMC telah mengadakan lawatan ke lokasi terjejas bersama pihak CelcomDigi dan mendapati beberapa peralatan komunikasi, termasuk peralatan seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU) telah dicuri.
“Kejadian ini mengakibatkan gangguan perkhidmatan di kawasan berhampiran serta menjejaskan operasi menara komunikasi lain.
“Pihak CelcomDigi telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, MCMC menyeru orang awam memainkan peranan dengan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi.
MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi.
“Perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

