SERAMAI 11 individu berusia 18 hingga 67 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul beramai-ramai di Kampung Kutan, Wakaf Bharu.
Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kesemua suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses siasatan selesai.
Katanya, dakwaan kononnya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap kes itu sekaligus adalah disahkan tidak benar.
“Pertuduhan ke atas seorang suspek lelaki berusia 36 tahun akan dibuat pada 19 April ini di Mahkamah Tumpat di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham keluarga yang kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan melibatkan kedua-dua pihak.
Akibat insiden itu, kedua-dua pihak dilaporkan mengalami kecederaan.
Mohd Khairi menegaskan pihak polis telah mengambil tindakan sewajarnya dan menjalankan siasatan secara telus, profesional serta menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran mendakwa seorang lelaki berusia 33 tahun dipukul beramai-ramai ketika ingin menjemput isterinya di rumah mentua di lokasi kejadian.
Malah, individu berkenaan turut mendakwa bahawa laporan polis yang dibuat pada 1 April lalu tidak diambil tindakan, malah dia kononnya diugut supaya menarik balik laporan.
Bagaimanapun, pihak polis menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tindakan sewajarnya telah diambil.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau belum disahkan oleh pihak berkuasa.
“Penyebaran maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan serta menggugat ketenteraman awam,” jelas beliau.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

