DUA lelaki yang merupakan adik-beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh dua kenderaan lain di laluan bertentangan di M 36.7, Jalan Kluang, Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam lebih kurang 4.30 petang semalam.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah kereta dari arah Kluang sedang menghala ke arah Ayer Hitam, Batu Pahat dan apabila tiba di tempat kejadian iaitu semasa keadaan cuaca hujan lebat, pemandu kereta dari arah Kluang dipercayai telah hilang kawalan pemanduan.
Jelas beliau, kereta tersebut memasuki ke lorong jalan arah yang bertentangan menyebabkan telah bertembung dengan sebuah kereta dan sebuah kenderaan SUV yang sedang melalui lorong jalan berkenaan.
“Kereta dari arah Kluang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia
29 tahun bersama tiga orang penumpang iaitu abang berusia 30 tahun dan adik lelakinya berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Pemandu kereta tersebut serta seorang lagi adik lelaki berusia 25 tahun pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Klang,” katanya.
Beliau berkata, kereta dari arah Ayer Hitam dipandu bersendirian oleh seorang wanita tempatan berusia 42 tahun.
Manakala, katanya, kenderaan SUV dari arah Ayer Hitam dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bersama seorang penumpang iaitu isterinya.
Beliau berkata, pemandu kereta dan pemandu kenderaan SUV bersama seorang penumpang dari arah Ayer Hitam mengalami kecederaan ringan.
“Siasatan Polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

