PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) komited untuk terus memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Presidenya, Badlishah Sham Baharin berkata, beliau mengambil maklum laporan berhubung penahanan oleh SPRM terhadap tiga individu di Hulu Selangor berhubung kes itu.
Katanya, IKRAM memandang serius perkara itu dan menegaskan integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.
“Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Badlishah Sham berkata, IKRAM menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM.
Katanya, IKRAM akan terus memberikan kerjasama yang sewajarnya, selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan.
Jelas beliau, perkara itu melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung.
“Selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
“IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini.
“Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

