JUMLAH penjawat awam yang mendaftar di bawah program Bekerja Dari Rumah (BDR) mencecah 155,000 orang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan inisiatif itu berjaya merekodkan penjimatan bahan api sebanyak 334,000 liter bernilai RM678,000.
Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Setakat hari ini, jumlah penjawat awam yang mendaftar di bawah program bekerja dari rumah mencecah 155,000 orang.
“Sejak 15 April lalu sehingga semalam, dianggarkan penjimatan yang berjaya dilakukan berjumlah 334,000 liter minyak bersamaan dengan penjimatan RM678,000,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara telah diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sektor swasta tentang pelaksanaan BDR bagi sektor tersebut untuk melihat secara keseluruhan penjimatan yang berjaya diperoleh.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

