BADAN Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat MARA Malaysia) buat julung kalinya akan menganjurkan Pertandingan Pidato Piala Pengerusi MARA 2026, sebagai platform mencungkil bakat dan keyakinan diri generasi muda.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program bertemakan ‘MARA 60 Tahun: Melakar Kejayaan, Membina Peradaban’ itu dibawakan khas oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Sebanyak 102 penyertaan telah diterima melibatkan pelbagai institusi pendidikan MARA termasuk TVETMARA, Kolej MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej Poly-Tech MARA dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran pertandingan tersebut di Medan MARA dekat ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Presiden Muafakat MARA Malaysia, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad.
Asyraf Wajdi berkata, penganjuran program tersebut merupakan satu pelaburan bermakna dalam pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berdaya saing, berwawasan dan mampu menyuarakan aspirasi mereka dengan matang di pentas dunia,” katanya.
Terdahulu komitmen BSN sebagai rakan strategik platinum ialah berjumlah RM25,000 yang mana sebahagiannya merupakan hadiah kepada pelajar melalui simpanan SSP.
Selain itu pertandingan pidato ini juga mendapat sokongan Penerbit Mahjir (rakan strategik emas); BHPetrol (rakan strategik perak); Spectra Global Security, Rural Capital Berhad, MuafakatPay serta produk aiskrim Cemiu sebagai rakan strategik gangsa.
Kemuncak program berprestij ini dijadual berlangsung pada 26 April ini di Auditorium Bandaraya.

