POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang melarikan beg silang di sebuah stor penyimpanan barang pembinaan di Jalan Meru Tambahan, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa, 24 tahun, tampil membuat laporan kira-kira jam 6.30 petang semalam berhubung kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati kira-kira jam 8.30 pagi hari sama, mangsa dikata meletakkan beg silang miliknya di atas kotak simpanan perkakas pertukangan di luar premis sebelum masuk ke bahagian dapur.
“Selang 30 minit kemudian, beg itu didapati hilang dan hasil semakan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan telah melarikan beg silang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Khellykuzaman Mohd Nasir, melalui talian 017-2863177 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

