DUA orang pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat maut manakala dua lagi rakan mereka cedera parah selepas motosikal ditunggang merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 136, Jalan Muar-Batu Pahat, Kampung Parit Orang Kaya, semalam.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Hariz Nizam dan P Pugalenthi, kedua-duanya 21 tahun yang merupakan penuntut bidang Teknologi Mekatronik di ADTEC meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan, nahas itu melibatkan sebuah lori dan dua motosikal dinaiki empat pelajar ADTEC tersebut.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat, kejadian dipercayai berlaku semasa lori dari arah Batu Pahat menghala ke Kesang, Muar berhenti untuk membelok masuk ke simpang di sebelah kanan.
“Semasa hendak membelok, tiba-tiba bahagian belakang lori tersebut telah dilanggar sebuah motosikal dari arah yang sama.
“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal dari arah yang sama turut terlanggar motosikal di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Shahrulanuar Mushaddat berkata, dua mangsa yang maut itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia.
Katanya, dua mangsa yang parah menaiki sebuah lagi motosikal menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
“Pemandu lori berusia 46 tahun pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, ADTEC Batu Pahat dalam kenyataan menzahirkan dukacita atas pemergiaan dua penuntutnya.
“Pemergian mereka amat dirasai, kehilangan besar buat warga kampus. Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.
“Dimaklumkan juga bahawa dua orang lagi penuntut yang turut terlibat dalam kemalangan itu dalam keadaan stabil. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar mereka diberikan kesembuhan sepenuhnya,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

