Warga Singapura cederakan kanak-kanak autisme didakwa Rabu

SEORANG wanita warga Singapura yang ditahan kerana disyaki cederakan kanak-kanak autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, awal bulan ini dijangka didakwa di mahkamah, Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 51 tahun itu akan didakwa pada pukul 10 pagi di Mahkamah Ampang.

Menurut beliau, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda.

Selain itu, katanya, suspek juga akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan tiada pas sosial tamat tempoh.

Mohamad Farouk berkata, jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

“Siasatan telah selesai dan kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini.

“Terima arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pukul kanak-kanak autisme: Reman wanita warga Singapura disambung

Lima dipanggil bantu siasatan pukul kanak-kanak autisme

Sebelum ini, mahkamah melanjutkan tempoh reman terhadap wanita warga Singapura itu berhubung kes cederakan kanak-kanak lelaki autisme selama tiga hari hingga 8 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

UtusanTV sebelum itu melaporkan seramai lima saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes pukul melibatkan seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun.

2 Oktober lalu, polis telah menahan suspek yang juga pengurus di pusat asuhan itu di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 1.50 pagi.

Ia susulan laporan bapa mangsa yang mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun itu didera dan dicederakan.

Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook mendakwa anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.

Hantaran yang dibuat itu kemudian tular dan netizen meminta tindakan tegas diambil ke atas pemilik pusat intervensi berkenaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

‘Belajar pandai-pandai, kerja buat sambal kentang je’, kekyahkentang tak kisah mulut orang selepas jelajah lebih 43 buah negara

0

SIAPA kata ada Masters tak boleh jual sambal kentang?

“Ilmu tu penting guys walaupun berniaga, at least kalau ada cucu kita boleh jadi nenek yang hebat kat mata depa walaupun jual kerepek je”.

Demikian kata-kata pembakar semangat yang ditulis oleh @kekyahkentang menerusi video di laman TikTok bagi menjawab persoalan orang ramai berkenaan taraf pendidikan dimilikinya.

Video pendek berdurasi 18 saat itu telah ditonton lebih 350,000 kali sejak ia dimuat naik dua hari lepas dan menerima lebih daripada 21 ribu tanda suka.

Nur Fareha Mohamad Yakob atau mesra dikenali sebagai Kekyah merupakan seorang graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Sains Malaysia memilih untuk berkecimpung mengusahakan perniagaan atas talian menjual sambal goreng kentang berbanding makan gaji.

Menurut pemilik perniagaan Sambal Goreng Kentang Azama ini, dia mengambil-alih perniagaan kecilan yang diusahakan oleh keluarganya sekitar tahun 2014.

“Ada je orang mempertikaikan kenapa belajar sampai Masters tapi pilih untuk jual sambal goreng kentang. Tapi mulut orang tak boleh nak kata apa,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

“Pernah juga supplier hantar kentang tak elok kepada kami. Jadi apabila kami goreng kentang tersebut, ia tidak sedap dan tidak rangup,”

Malah Fareha juga pernah dikhianati oleh pekerjanya apabila tanpa segan silu menjual resepi sambal goreng miliknya kepada kilang lain pada tahun 2016.

Baca artikel berkaitan: 1 juta saksikan pemuda ini bakar cek RM15,000 selepas majlis kahwin dirancang tak kesampaian

@kekyahkentang

Belajar pandai2 kerja buat sambal kentang je ? #smallbusiness #onlinebusiness #fyp #myfoodie

? NYANDA BARASA – Sev Ballesca ??

Gadis yang berasal dari Banting, Selangor yang sudah melancong ke lebih 43 buah negara mengatakan, mempunyai perniagaan sendiri membuatkan dirinya tidak terikat kepada mana-mana syarikat, masa kerja lebih anjal dan membolehkannya melancong ke luar negara tanpa risau.

Menjadikan diri sendiri sebagai pembakar semangat untuk meneruskan perniagaan, Fareha sempat menitipkan pesanan kepada peniaga kecil di luar sana untuk terus kekal semangat walau apa jua cabaran melanda lebih-lebih lagi pada waktu genting ini.

“Kalau buat business, jangan expect dapat kejayaan dalam masa singkat. Anggap setiap cabaran sebagai satu permulaan dan jangan mengalah. Banyakkan tawakal kepada Allah,” nasihat mesra gadis ini.

Rata-rata warganet memberi galakan dan sokongan kepada gadis berusia 34 tahun ini menerusi ruangan komen untuk terus melakukan perkara yang diminati tanpa menghiraukan mulut orang sekeliling.

“Ilmu membawa kita ke jalan lurus. Gituuu. Setiap orang kan impian berbeza janji happy,” tulis @fizaomar85

“Takpe tak rugi kan sis.. timba ilmu sampai akhir hayat. Jadi insan berilmu. Jadi usahawan pun tak mudah kena tipu,” sokong @princessssshani dan dibalas mesra oleh Kekyah “Betul dan kita akan jadi usahawan dengan class yang berbeza,”.

“Dorang ingat jual kerepek tak kaya ke. Gilo siapa yang tanya tu. Sekarang all about survival bukan Phd in course. Banyak je Phd grads yang tak kerja,” tambah @alvaaharis.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming sah positif COVID-19

HANYA beberapa jam selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan tiada sebarang kes positif dikesan di pekarangan Parlimen sepanjang persidangan berlangsung sejak 4 Oktober lalu, Dewan Rakyat merekodkan kes terbaharu hari ini.

Ia selepas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming disahkan positif jangkitan COVID-19, petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Kian Ming menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini.

Menurut Kian Ming, beliau ke Parlimen selepas waktu makan tengah hari tadi dan menjalani ujian kendiri COVID-19 pada pukul 3.30 petang dengan ia didapati positif.

Beliau kemudiannya menjalani ujian RT-PCR dan disahkan positif COVID-19, satu jam kemudian.

Namun begitu, Kian Ming memaklumkan tidak mempunyai sebarang gejala dan akan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari.

“Saya pergi ke Parlimen selepas waktu makan tengah hari tadi. Melakukan ujian kendiri COVID-19 pada pukul 3.30 petang dengan ujian didapati positif.

“Disahkan oleh ujian RT-PCR satu jam kemudian. Saya tidak mempunyai sebarang gejala. Saya akan kuarantin di rumah selama 10 hari dan akan menghabiskan masa beberapa jam ini untuk memaklumkan kepada kontak rapat.

Baca artikel berkaitan: 6,709 kes baharu, kali pertama kes bawah 7,000 sejak 5 Julai

“Saya telah diuji negatif di Parlimen pada hari Rabu lalu. Tidak pasti siapa atau di mana saya berjangkit,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Dalam sesi Parlimen pagi tadi, Azhar membenarkan semua ahli Parlimen untuk membuka pelitup muka ketika sesi perbahasan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam masa sama, Azhar juga memaklumkan tiada sebarang kes positif dikesan di pekarangan Parlimen sepanjang persidangan berlangsung sejak 4 Oktober lalu.

Ia hasil ujian RT-PCR dan RTK-Antigen yang dijalankan ketika tempoh persidangan.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, semua pihak harus menerima hakikat bahawa virus COVID-19 kini bersifat endemik.

Kata beliau, protokol pengujian di Parlimen menunjukkan bahawa kita dapat bekerja dan beroperasi seperti biasa.

“Vaksin juga memberi petunjuk bahawa sebilangan besar kes COVID-19 dalam kalangan yang telah menerima vaksin adalah sama ada tidak mempunyai gejala seperti saya atau kurang gejala,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Hanya individu lengkap vaksin boleh melancong – Nancy

KEBENARAN rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran polis seperti diumumkan Perdana Menteri semalam yang merangkumi aktiviti pelancongan tertakluk kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, anak-anak di bawah umur 18 tahun juga boleh turut serta bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah lengkap divaksinasi.

Menurut Nancy, pengumuman terbaharu itu merupakan khabar gembira yang telah lama dinantikan seluruh penggiat industri.

Kata beliau, ia sememangnya dapat merancakkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya tempatan.

Pada masa sama, Nancy memaklumkan, kebenaran itu juga dapat menjamin kelangsungan hidup pekerja-pekerja dalam rantaian sektor tersebut yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Datuk Seri Nancy Shukri

“Bagi memulihkan kembali sektor ini, salah satu fokus yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan adalah untuk mengembalikan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan.

“Selain itu, kita berusaha memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Rentas negeri dibenar esok, tapi untuk lengkap vaksin sahaja – PM

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementeriannya juga akan terus merangka kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara.

“Saya berharap dengan pelaksanaan pembukaan rentas negeri ini, ia boleh membantu dalam memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara,” jelas beliau.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga menggalakkan pengunjung yang ingin melakukan aktiviti pelancongan supaya menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Tindakan tersebut secara tidak langsung dapat membantu kerajaan untuk memutuskan rantaian serta mengawal penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Kes basikal lajak: Jabatan Peguam Negara akan fail rayuan

0

JABATAN Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan berhubung pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi berkata, AGC akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kepada Mahkamah Tinggi sama ada hari ini atau esok.

Semalam, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebas dan melepaskan Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Sam.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata, mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.

Siti Hajar berkata, keterangan Sam bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.

Baca artikel berkaitan: Keputusan bebas jurujual dalam kes basikal lajak kekal

Pada 18 Feb lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya serta mengetepikan perintah Mahkamah Majistret pada 28 Okt 2019 yang membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Sam, yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Mereka ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, Fauzan Halmijan, 13, Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Jurujual wanita itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Kerajaan perlu dana tambahan RM45 bilion untuk program COVID-19 – Zafrul

0

KERAJAAN memerlukan dana tambahan sebanyak RM45 bilion untuk Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), selepas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon tambahan peruntukan dari RM65 bilion kepada RM110 bilion di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan peruntukan tambahan selepas dana KWC tinggal berbaki lagi RM5 bilion daripada jumlah RM65 bilion yang diperuntukkan pada tahun lalu.

Katanya, rang undang-undang yang pertama meluluskan peruntukan bernilai RM45 bilion pada September 2020, disusuli pindaan had siling daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion pada Disember 2020.

“Had siling yang ditingkatkan pada waktu itu bertujuan untuk membiayai empat pakej pertama, iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin serta sebahagian dari langkah Belanjawan 2021,” katanya di Dewan Rakyat.

Jelasnya, peruntukan COVID-19 tersebut banyak disalurkan menerusi program bantuan dan pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan sejak awal tahun ini selepas negara masih bergelut dengan penularan COVID-19 yang menyaksikan majoriti rakyat terjejas punca pendapatan mereka.

“Sebagai langkah segera dan proaktif, kerajaan telah melaksanakan empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih bagi mengurangkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu.

“Keempat-empat pakej tersebut memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion,” katanya memetik laporan Agendadaily.

Justeru, beliau berkata pindaan rang undang-undang dan peningkatan had hutang statutori adalah penting bagi memenuhi komitmen tersebut, serta untuk membiayai langkah yang seterusnya bagi tahun ini dan 2022 dalam memastikan momentum pemulihan negara dapat diteruskan.

“Ingin saya menekankan bahawa berdasarkan kedudukan semasa KWC, Kementerian Kewangan mengunjurkan bahawa peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej-pakej tersebut,” katanya lagi.

Menurut Zafrul lagi, baki siling yang tinggal kini berjumlah RM5 bilion dan memerlukan dana tambahan untuk menampung pakej bantuan yang dirancang kerajaan.

“Ini adalah kerana sejumlah RM60 bilion telah dibelanjakan dan baki siling setakat hujung September 2021 adalah berjumlah RM5 bilion sahaja.

“Mengambil kira keperluan tambahan tersebut, serta prestasi ekonomi dan had statutori hutang bagi tahun ini dan 2022, adalah wajar supaya Akta 830 dipinda untuk menampung peningkatan had siling KWC kepada RM110 bilion,” katanya lagi.

Tambahnya, cadangan itu melibatkan pindaan Akta 830 supaya had statutori hutang ditingkatkan kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 60 peratus sebelum ini serta pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Namun, dalam jangka masa sederhana, kerajaan masih komited terhadap langkah konsolidasi fiskal yang digariskan di bawah RMK12 dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025,” katanya. – UtusanTV

Malaysia berhasrat kurang 45% pelepasan GHG pada 2030 – PM

MALAYSIA berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Majlis berkenaan dianggotai 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri, 16 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan dua pakar sebagai ahli jemputan.

Menurut Perdana Menteri, pendirian negara itu akan dibentangkan dalam Persidangan Ke-26 Negara Ahli Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November depan.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri memaklumkan, beliau serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia pada 1 hingga 2 November dan UNFCCC COP-26 tersebut.

Namun begitu, katanya, keputusan mesyuarat telah memberi mandat kepada delegasi diketuai Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyampaikan pendirian negara.

“Pengurangan intensiti pelepasan GHG itu dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini.

“Selain itu, Malaysia juga berpendirian untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifat seawal-awalnya pada tahun 2050 tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Jangan sia-siakan kejayaan ini kerana kelalaian kita” – PM

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mesyuarat MyCAC juga bersetuju untuk melaksanakan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh KASA dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, kerajaan mahu meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu; sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman menjelang 2030; mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara; menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon.

Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan juga telah mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air dan menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifat dalam agenda kelestarian operasi syarikat.

“Dalam hal ini juga, ASEA wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara-negara di rantau ini.

“Kerajaan wajar memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara antaranya melalui penubuhan Pusat GHG Kebangsaan di bawah KASA.

“Ia penting bagi meningkatkan ketelusan pelaporan maklumat perubahan iklim negara dan data perubahan iklim yang diuruskan pusat tersebut supaya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan rendah karbon,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Ahli Parlimen boleh pakai baju batik hadiri Sidang Dewan Rakyat

0

SELAMA ini pakaian Ahli-Ahli Parlimen bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat adalah lounge suit atau berbaju Melayu lengkap bersamping.

Namun yang akan datang, Ahli-Ahli Parlimen dibenarkan memakai baju batik.

Syaratnya baju batik Malaysia berlengan panjang dan pemakaiannya adalah pada hari Khamis dan secara sukarela.

Ini setelah Jawatankuasa Dewan bersetuju dengan cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri yang bertujuan mendukung warisan negara.

Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membacakan syor itu di Persidangan Dewan Rakyat berkata, pemakaian itu bukan mandatori.

“Ia adalah secara sukarela,” katanya ketika membacakan Penyata Jawatankuasa Dewan hari ini.

Di Singapura, kod pakaian kepada Ahli-ahli Parlimen Republik itu lebih longgar dengan tidak wajib memakai kot dan tali leher.

Di Parlimen United Kingdom (UK) pula, walaupun tiada kod pakaian secara formal, namun pemakaian kot dan tali leher tetap dikekalkan sebagai tradisi Parlimen negara itu.

Namun, ada kalanya timbul desakan daripada Ahli Parlimen negara itu yang mahu kebenaran diberikan kepada etika pakaian yang lebih longgar.

Baca artikel berkaitan: “Tak sabar tengok OOTD PM baru,” – Ismail Sabri dilantik PM-9, Instagram Jovian Mandagie dihujani ucapan tahniah

Sementara itu, pada perkembangan sama Bernama melaporkan Wan Junaidi turut membacakan dua syor lagi iaitu berkaitan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli iaitu lima Ahli Parlimen kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.

Selain itu juga cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs).

“Pertambahan itu katanya selaras dengan Peraturan 82 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan penambahan kepada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” jelasnya.

Menurut Wan Junaidi, Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut, termasuk tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi, dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil dan penyata Dewan.

Syor-syor itu kemudian disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar dan disetujukan majlis mesyuarat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Hanya satu lokaliti dikenakan PKPD di Raub mulai esok

HANYA satu lokaliti iaitu Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu, mulai esok.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekatan itu dikenakan dari 12 Oktober hingga 25 Oktober.

Ketua Pengarah MKN, Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD dilaksanakan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Tiada lokaliti yang dilanjutkan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut beliau lima lokaliti ditamatkan pada 12 Oktober ini.

“Antaranya ialah Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang, Kampung Dollah, Perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan, Kinta Perak.

“Di Pahang pula melibatkan Kampung Bukit Serdang, Bera,” ujarnya.

UMNO calonkan Ramli sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

UMNO akan meletakkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ia selepas penarikan diri Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi jawatan berkenaan, Khamis lalu.

Pengumuman mengenai pencalonan Ramli itu dimaklumkan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menerusi ciapan di Twitter miliknya hari ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju agar Ramli dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Ini suatu sejarah sebagai Orang Asli pertama yang dicalonkan.

“Hari ini hari terakhir untuk cadangan nama sebelum Sidang Parlimen pada 25 Oktober 2021,” katanya dalam ciapan itu.

Sementara itu, Ramli dalam pesanan aplikasi WhatsApp kepada UtusanTV enggan memberikan komen berhubung perkara tersebut.

“Saya tak mahu komen apa-apa lagi buat masa ini,” katanya ringkas.

Baca artikel berkaitan: Kalau sebut namapun ‘dah kalah’, lebih baik Ahmad Maslan tarik diri

Sebelum ini, nama Ahmad disebut-sebut sebagai calon untuk dipilih sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan 23 ogos lalu.

Pencalonan Ahmad sebagai calon tunggal itu dicadangkan Ismail Sabri.

Namun begitu, Khamis lalu, Ahmad mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan berkenaan.

Ahmad berkata, pendirian itu dibuat bagi menumpukan usaha dan perhatian kepada jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

“Saya telah memaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, selain berjumpa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengenai keputusan ini.

“Perdana Menteri tentu akan menamakan calon lain dan tempohnya dalam sehari dua ini bagi memenuhi syarat 14 hari dikenakan, sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktober depan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram