SEJAK 6 Julai lalu, kes harian COVID-19 tidak pernah rendah daripada angka 7,000.
Malah, kes baharu hari ke hari meningkat dan terus meningkat sehingga mencecah lebih angka 20,000 buat kali pertama pada 5 Ogos lalu.
Namun Alhamdulillah, sejajar peningkatan kadar vaksinasi di seluruh negara, jangkitan baharu wabak itu menunjukkan trend penurunan sejak lebih sebulan lalu.
Dan hari ini, sebanyak 6,709 kes baharu dilaporkan – kali pertama kes harian COVID-19 dilaporkan di bawah angka 7,000 dalam tempoh hampir 100 hari.
Kali terakhir negara merekodkan kes harian di bawah angka 7,000 ialah 5 Julai lalu iaitu sebanyak 6,387 jangkitan.
Menurut perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kumulatif jangkitan COVID-19 di Malaysia berjumlah 2.34 juta kes.
Baca artikel berkaitan: 7,373 kes baharu, terendah dalam tempoh lebih 3 bulan
Butiran terperinci kes harian hanya dimuat naik di COVIDNOW

“Sehingga 11 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 6,709 kes (2,346,303 kes).
“Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my
“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekaligus selepas tengah malam,” katanya di Facebook beliau.
Seperti semalam, tiada perincian kes mengikut negeri diberikan dengan maklumat berkenaan boleh diperoleh di Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.
Misalnya kes COVID-19 negeri Selangor sehingga 10 Oktober 2021, jam 12 tengah hari adalah sebanyak 1,015 kes.
Bagaimanaun untuk hari ini, belum ada maklumat dimuat naik di media sosial Jabatan Kesihatan Selangor setakat jam 2.15 petang ini.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

