Rosmah dakwa tak pernah gelar diri sendiri sebagai Wanita Pertama

0

DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia (FLOM) dan menafikan bahawa satu bahagian telah diwujudkan khusus untuk beliau dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Rosmah, 69, berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata gelaran itu adalah untuk ‘tujuan pentadbiran.’

Sri Ram: Adakah anda bersetuju bahawa Wanita Pertama Malaysia adalah gelaran yang anda gunakan untuk diri sendiri?

Rosmah: Tidak.

Sri Ram: Siapa berikan gelaran itu kepada anda?

Rosmah: Tiada siapa yang berikan gelaran itu kepada saya. Ia hanya untuk tujuan pentadbiran.

“Isteri-Isteri perdana menteri (sebelum ini) tidka begitu aktif dalam aktiviti kebajikan atau projek yang menonjol seperti Permata Negara. Mereka mungkin jarang diundang untuk menyampaikan ucaptama di luar negara. Jadi, ketika suami saya menjadi Perdana Menteri, kehidupan saya menjadi teramat-amat sibuk,” kata Rosmah.

Sri Ram kemudian menyoal sama ada terdapat bahagian dalam PMO yang dikenali sebagai ‘Wanita Pertama Malaysia’ dan Rosmah menjawab “Saya tidak tahu.”

“Itu bukan tugas saya. Saya tidak campur tangan dengan PMO,” katanya.

Rosmah juga berkata beliau tidak tahu sama ada Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah digelar sebagai Wanita Pertama Malaysia.

Baca artikel berkaitan: Jika saya ‘suka mengawal’, usia perkahwinan dengan Najib tidak akan capai 34 tahun – Rosmah

Rosmah menangis semasa beri keterangan, sifatkan pendakwaan perbuatan zalim terhadap dirinya

“Saya tidak tahu. Mungkin di luar (negara) beliau digelar begitu (Wanita Pertama Malaysia),” katanya.

Rosmah juga berkata beliau sedia mengorbankan dirinya dan berdepan serangan di media sosial bagi pihak suaminya ketika Najib menjadi Perdana Menteri kerana Najib berkata serangan itu sebenarnya ditujukan kepadanya namun beliau menjadi sasaran mudah di media sosial.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 21 Oktober depan.- BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Dewan Rakyat lulus Rancangan Malaysia Ke-12

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), rancangan pembangunan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu disetujukan apabila menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas dibahaskan selama empat hari mulai 28 Sept oleh 106 Ahli Parlimen dan disusuli dengan penggulungan oleh 27 kementerian terlibat selama tiga hari.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan adalah mengenai kesihatan, vaksin COVID-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca-COVID-19 dan pengurusan bekalan air negara. 

Persidangan hari ini menyaksikan tiga kementerian meneruskan penggulungan perbahasan termasuk lima jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

BERITA BERKAITAN RMK-12 utamakan negeri kurang membangun – Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak

Pada 27 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara. 

Mengikut takwim Dewan Rakyat, persidangan pada Isnin ini akan diteruskan dengan Rang Undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

— BERNAMA

Harga baharu kit ujian kendiri sudah ada, akan diumumkan nanti – KJ

HARGA baharu bagi kit ujian kendiri COVID-19 yang ketika ini pada harga RM19.90 akan diturunkan lagi dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya telah pun mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung penurunan harga berkenaan.

Beliau turut memaklumkan harga siling baharu itu telah pun dipersetujui dan disifatkan adil kepada pengguna serta pembekal.

Namun begitu, kata beliau, kerajaan akan mengambil sedikit masa untuk memberi tempoh peralihan kepada pembekal menjual dahulu bekalan sedia ada.

“Perkara ini akan ambil kira sikit masa peralihan supaya pembekal yang telah pun membeli kit ujian itu dapat menjual bekalan sedia ada.

“Ia kerana kali terakhir kita turunkan harga, mereka ada beri pandangan bahawa tak cukup masa untuk menghabiskan stok sedia ada.

“Saya pun dah bincang dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kita pun dah ada harga yang kita dah sarankan supaya jadi harga siling cuma kita akan umumkan nanti ada tempoh peralihan sikit,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Harga kit ujian kendiri Covid-19 lebih murah

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Sementara itu, Khairy memaklumkan semua negeri bakal mencecah 80 peratus kadar vaksin bulan ini kecuali di Sabah.

Menurut beliau, sasaran itu tidak dapat dicapai di Negeri di Bawah Bayu itu kerana kebanyakan rakyat Sabah sudah tidak hadir sendiri ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggerakkan sumber yang ada untuk melaksanakan lagi program jangkau luar bagi memastikan lebih 80 peratus rakyat Sabah menerima vaksin.

“Saya dah berhubung dengan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah untuk pertingkatkan lagi program jangkau luar sebab kita dapat laporan tak ramai datang ke PPV di negeri itu.

“Ada beberapa negeri lain antaranya Kelantan, Kedah dan Perak yang masih belum cecah 80 peratus tetapi saya yakin negeri-negeri ini akan dapat sampai bulan ini mengikut kepada unjuran pemberian dos pertama mereka,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

KKM tak cadang wajibkan ujian kendiri rentas negeri

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk mewajibkan pelaksanaan saringan ujian kendiri kepada individu yang mahu merentas negeri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut telah pun dikaji, namun disifatkan sangat mustahil untuk memastikannya dilaksanakan dengan sewajarnya.

Kata beliau, kebenaran untuk aktiviti rentas negeri nanti bukan seperti gelembung pelancongan domestik ke Langkawi yang mana jumlahnya masih boleh dikawal.

Khairy berkata, rakyat akan lebih marah sekiranya sekatan jalan raya (SJR) dilakukan selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan hanya untuk memeriksa sijil vaksinasi dan melakukan ujian kendiri.

“Takkan kita nak adakan SJR dan periksa setiap orang yang keluar, kalau tak divaksinasi kita minta mereka buat ujian di situ.

“Rakyat akan lebih marah kalau berlaku kesesakan kerana mereka dah tunggu lama untuk balik ke kampung, tiba-tiba ada SJR di mana setiap orang diperiksa untuk tunjuk sijil vaksinasi dan buat ujian kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kekal disiplin, Delta terus dikesan ketika ramai bilang hari untuk rentas negeri

Mengulas lanjut, Khairy bagaimanapun berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan tetap dikuatkuasakan sepenuhnya.

Malah, beliau turut memaklumkan telah meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus melaksanakan Op Patuh bagi memastikan SOP terus dipatuhi.

Menurut Khairy, golongan yang belum divaksinasi tidak akan diberi kebebasan mengikut kepada SOP sedia ada.

“Saya akui tiada cara untuk mengawal pergerakan mereka yang belum divaksinasi, kita takkan adakan SJR lagi tetapi jika mereka merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tak akan diberi kebebasan sedemikian. Itu cara kita kuatkuasakan SOP sedia ada.

“Kita tak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri sebab ramai yang dah tunggu lama.

“Kita dah sampai tahap 90 peratus daripada penduduk dewasa menerima vaksin, sekarang ini hanyalah kawalan kendiri, pemerkasaan individu dan komuniti sahaja,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Koperal PGA ditahan bawah SOSMA, terlibat bawa PATI

SEBAGAI seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), dia sepatutnya berada di barisan hadapan dalam membanteras jenayah di sempadan apatah lagi berkait kemasukan warga asing secara haram.

Namun hal sebaliknya pula berlaku apabila anggota berpangkat koperal itu pula ditahan selepas didapati membawa lima wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Thailand di Tanah Merah, Kelantan malam tadi.

Harus diingat, ini bukan sahaja soal kemasukan warga asing tetapi juga membolos kawalan sempadan di waktu COVID-19 yang mempunyai protokol ketat bagi membendung penularan wabak itu.

Dalam satu sidang media di Kota Bharu hari ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki yang bertugas di Ibu Pejabat PGA Kuantan itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Menurutnya, anggota berusia 33 tahun bersama rakan lelakinya yang merupakan orang awam berusia 28 tahun itu dipercayai mahu menghantar kumpulan warga asing berkenaan ke Lembah Klang untuk bekerja di restoran.

“Dalam kes ini, kita dapati anggota PGA ini pernah bertugas di sempadan dan berhadapan masalah disiplin sebelum ditukarkan ke ibu pejabat,” katanya.

Kata beliau, siasatan awal mendapati kesemua warga Thailand berkenaan dibawa masuk melalui pangkalan haram di sekitar Pasir Mas.

Baca artikel berkaitan: “Duit banyak-banyak nak rasuah malaikat dalam kubur?” Ayob Khan bicara soal integriti

Kita tak akan cover-up salah laku anggota, pegawai – Ayob Khan

“Sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas yang menahan kenderaan terbabit di hadapan sebuah masjid menemukan kesemua wanita berusia 21 hingga 48 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun berada dalam kenderaan itu,” jelasnya.

Menurut Shafien, pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan sebahagian warga asing itu sudah tamat tempoh dan ada antara mereka tidak memiliki dokumen.

Beliau berkata, kesemua warga asing ditahan mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak polis sesekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dalam kes sebegini dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak terbabit,” katanya seperti dilapor media.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook Polis Kontinjen Kelantan, anggota berkenaan dan rakannya dimaklumkan telah ditahan reman selama 28 hari di bawah SOSMA.

Turut dirampas wang tunai RM1,276, sejumlah mata wang Thailand, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa datang mengambil kesemua PATI untuk bekerja di sebuah kedai makan milik suspek di Kuantan Pahang, namun terdapat percanggahan maklumat daripada PATI yang dibawa masuk menerusi pangkalan haram di Sungai Golok itu mendakwa akan bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor,” kata hantaran itu.

Kes terhadap kedua-dua suspek disiasat di bawah seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

‘Jalan rosak, hubungi saya, tindakan 24 jam’ – Shahidan

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan kepada rakyat terutama warga Kuala Lumpur bahawa sebarang aduan, rungutan atau makluman mengenai kerosakan jalan raya akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Shahidan pada masa sama turut membuat tindakan berani berkongsi nombor telefonnya dan beberapa individu lain sekiranya orang ramai mempunyai aduan mengenai kerosakan jalan di sekitar Bandar Raya Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memantau keadaan jalan raya terutama berdekatan projek pembangunan kawasan jalan utama serta kawasan tumpuan utama.

Katanya, ia bagi memastikan keadaan jalan raya di kawasan-kawasan tersebut sentiasa diturap dan dibaiki.

“Saya telah berbincang dengan DBKL dan mengarahkan agar mana-mana aduan, rungutan dan makluman mengenai kerosakan jalan hendaklah diambil tindakan segera dalam masa 24 jam.

“Yang Berhormat boleh hubungi Menteri di 019-4545111, Timbalan Menteri (Datuk Seri Jalaluddin Alias) 019-6524444 atau Datuk Bandar (Datuk Seri Mahadi Che Ngah) di talian 016-2068883.

“Kami bersiap siaga 24 jam. Rakyat Malaysia yang baru datang Kuala Lumpur, jumpa jalan berlopak dan berbahaya, hubungi dan kita akan ambil tindakan dalam tempoh 24 jam.

Baca artikel berkaitan: ‘’Tak perlu polemik..ini Kerajaan PN’’ – Shahidan

“Kita nak jadi yang terbaik di Malaysia dan di dunia,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Tindakan berani Shahidan itu bukan sahaja menerima pujian Ahli Parlimen kerajaan tetapi juga P. Prabakaran (PH-Batu) yang mengucapkan terima kasih kerana memberikan nombor telefon kepada masyarakat.

Sementara itu, Shahidan turut memaklumkan, statistik kemiskinan di Wilayah Persekutuan menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 4,815 ketua isi rumah telah diletakkan berstatus miskin tegar manakala 5,617 ketua isi rumah lagi berstatus miskin.

Kata beliau, jumlah sehingga 14 September lalu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri itu meningkat berbanding statistik pada Oktober 2020 iaitu 1,190 berstatus miskin tegar dan 2,200 isi rumah berstatus miskin.

Beliau berkata, kementerian telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif meningkatkan sosioekonomi golongan miskin bandar termasuk yang menetap di projek perumahan rakyat (PPR) dan projek perumahan awam (PPA).

“Contoh inisiatif yang sudah dilaksanakan sehingga 30 September lalu adalah inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang memanfaatkan seramai 4,305 peniaga berlesen di Kuala Lumpur, 110 di Putrajaya dan 162 di Labuan.

“Program ini dilaksana sejak November 2020 dan dilanjutkan sehingga Disember 2021.

“Kemungkinan besar akan dilanjutkan lagi jika keadaan memerlukan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Kalau sebut namapun ‘dah kalah’, lebih baik Ahmad Maslan tarik diri

ANALISIS

MASIHKAH kita ingat pada 11 September lalu, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika mengesahkan pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengemukakan 20 cadangan untuk transformasi Parlimen.

Antaranya Ahli Parlimen Pontian mencadangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga diwujudkan dan dikhususkan kepada wakil pembangkang. Terdapat 19 lagi cadangan yang membuktikan kesungguhan beliau untuk menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bagaimanapun hari ini, Ahmad Maslan menarik diri daripada pencalonan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Kata beliau, faktor utama keputusan itu dibuat adalah bagi membolehkannya menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja sebagai Setiausaha Agung UMNO, lebih-lebih lagi dalam suasana  politik mencabar ketika ini, selain mahukan lebih banyak ruang untuk mengutarakan pandangan di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen.

“Saya suka memberikan pandangan, kalau saya duduk di kerusi timbalan speaker itu saya nak cakap apa, suruh orang duduk, suruh orang keluar, jadi fungsi saya yang aktif itu tidak dapat saya teruskan. Lagipun dari mula hari itu Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi,” katanya.

Walaupun politik negara sebenarnya sudah lama mencabar sejak selepas PRU-14 tetapi mungkin Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pada 19 Mac 2020 mulai sedar rupanya beliau perlu menumpu perhatian kepada tugas-tugas tersebut.

Justeru ramai ‘kagum’ apabila beliau dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang kata Ahmad Maslan hari ini, ‘’Perdana Menteri yang cadang nama saya bukan saya melobi.’’

Apapun sebenarnya Ahmad Maslan membuat tindakan bijak menarik diri kerana kalaupun beliau dicalonkan belum tentu akan menang memandangkan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memberi sokongan.

Ahmad Maslan menyedari hakikat itu walaupun sebelum ini dilihat masih menaruh harapan selepas pada 29 September lalu beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.

Pada minggu lalu, Ahmad Maslan berkata, ‘’ Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 14 hari Dewan Rakyat bersidang. Bagi sesi seterusnya Dewan Rakyat akan bersidang pada 25 Oktober.

“Maka saya ada tempoh 10 hari untuk berfikir dan berbincang tentang perkara itu. Tunggu sedikit masa lagi untuk saya berbincang bagi mendapatkan kata putus berhubung pencalonan jawatan Timbalan Speaker.’’

Beliau juga percaya masih ada ruang perbincangan bagi membolehkannya mengisi kekosongan jawatan itu walaupun sebelum ini pencalonannya ditolak Ahli Parlimen Bersatu.

Tetapi apabila PN sekali lagi menegaskan mereka tidak akan mencalonkan Ahmad Maslan walaupun beliau dibebaskan oleh mahkamah, Ahli Parlimen Pontian itu memahami harapannya sudah berkubur.

PN mahupun Bersatu tidak ada masalah jika UMNO mahu mencalonkan orang lain asalkan bukan ‘geng 15 Ahli Parlimen’ yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga Kerajaan PN tumbang…dan Ahmad Maslan salah seorang daripadanya.

Mungkin beliau terfikir ‘’buat apa nak mencalonkan diri, kalau sebut namapun dah kalah.’’  – lebih baik beliau tumpu kepada kerja parti dan memberikan pandangan di Parlimen..

Ahmad Zahid mohon pasport jalani rawatan di Jerman

0

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, hari ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

“Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat oleh doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.

“Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan. Rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk (mengurangkan kesakitan) beliau,” kata Hamidi.

Baca artikel berkaitan: Dengan Bersatu Zahid kata ‘No Way’, di Melaka UMNO ‘minta ehsan’ DAP

Permohonan itu difailkan pada 4 Okt dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim kemudiannya menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

Sementara itu Hamidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata Ahmad Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Okt dan akan mengembalikannya pada 21 Nov.

“Kami akan membuat permohonan yang sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Isnin ini,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 27 kes pengubahan wang haram, 12 membabitkan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Digigit lintah sebesar ibu jari, hampir 2 juta tonton pemuda tarik di telapak tangan

0

PERNAH digigit lintah?

Mungkin bagi mereka tinggal di kampung kelibat haiwan kecil ini bukan satu perkara aneh, terutama bila turun ke sawah padi atau kawasan sungai.

Pengalaman digigit lintah kadang kala “mengerikan” nak pula bagi kanak-kanak perempuan selepas melihat darah meleleh keluar apabila mencabut haiwan itu.

Lebih 1.9 juta kali ditonton, video pendek TikTok yang dikongsi pengguna bernama @JiroFyruz berjaya menarik perhatian netizen yang secara tidak langsung mengimbau kembali kenangan digigit haiwan berkenaan.

Video dengan kapsyen: Sapa pernah kena menatang ni…bapak besar gile oi hahaha berjaya mendapat lebih 64,000 tanda suka daripada warganet.

Dalam video tersebut, kelihatan seorang pemuda menunjukkan seekor lintah bersaiz XXL menggigit bahagian tepi telapak tangannya, sebelum bertindak menarik haiwan kekeyangan itu.

Rata-rata warganet turut berkongsi pengalaman masing-masing di ruangan komen mengenai cara membuang lintah yang paling berkesan.

“Jangan cabut macamtu bahaya, gigi dia still kat situ. Geletek dia lain kali,” tulis @chipmunkdragon yang kemudianya dijawab pemuda berkenaan “ Hahaah takut trus joget je”.

Baca artikel berkaitan: Gara-gara dedah ‘rahsia’ ikan patin kolam dengan sangkar , netizen serbu TikTok pemuda ini

@jirofyruz

sapa pernah kena menatang ni…bapak gile oi hahaha..#fyp?

? BISMILLAH – Riyan Fvnky

Ramai yang menyarankan supaya pemuda itu menyapu garam terlebih dahulu sebelum bertindak menarik haiwan berkenaan ataupun menggunakan pemetik api.

“Lepasni bakar atau sapu garam bro, kalau tarik macam tu nanti ada serpihan gigi dia tertinggal dan itu yang membuatkan darah terus mengalir dan bernanah,” nasihat @afiq.

“Letak garam confirm dalam 5 saat tanggal sendiri,” komen @fifah_jr.

“Bahaya cabut macamtu gigi dia lekat situ. Nanti boleh kudis. Kena amik pemetik api, bakar muncung dia. Nanti dia lepaskan gigitan itu,” tambah @ultramanmebius.

Malah, warganet juga sempat mengimbas kembali peristiwa pahit digigit lintah pada zaman kanak-kanak dan dikongsikan di ruangan komen video.

“Dulu suka mandi sungai masa kecik-kecik. Terkena binatang ni kat lutut, auto tak mandi dah sebab mak cakap nanti takut masuk dalam rahim perempuan,” kongsi @babyskinwhitening.kelantan_

“Kawan saya mandi sungai, lintah ni lekat kat ***** dia. Pengalaman yang tak dapat dilupakan, zaman kecik-kecik dulu,” tambah @syzwn79

“Lintah ni pernah masuk dalam telinga aku masa budak-budak mandi parit,” tulis @sarkes_

Pemilik video juga menjelaskan di ruangan komen bahawa dia tidak membuat sebarang persediaan seperti garam dan minyak gamat untuk merawat luka kesan dari gigitan lintah.

Bagi mereka yang belum mengetahui, lintah merupakan sejenis binatang dalam kelas Hirudinea, rupanya seperti pacat tetapi lebih besar. 

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Permohonan kemasukan ke sekolah khusus mulai Ahad ini

MURID-murid tahun enam dan tingkatan tiga tahun ini boleh mula membuat permohonan bagi kemasukan ke sekolah-sekolah khusus untuk tahun 2022 mulai Ahad ini sehingga 15 November depan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, permohonan ke tingkatan satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my manakala permohonan bagi tingkatan empat pula di pautan https//:spskt4.moe.gov.my.

Menurut Kementerian Pendidikan, ia melibatkan permohonan ke sekolah berasrama penuh (SBP); sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA); sekolah menengah teknik (SMT); kolej vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Katanya, permohonan ke SBP dan SMKA adalah bagi tingkatan satu dan empat manakala SMT dan MTD hanya untuk tingkatan empat selain KV pula bagi tahun satu.

“Semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran bagi tingkatan satu dan tingkatan empat secara dalam talian bermula 1 Disember 2021.

“Pentaksiran akan bermula dari 17 Januari 2022 hingga 27 Januari 2022 bagi tingkatan satu dan 7 sehingga 17 Februari 2022 untuk tingkatan empat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 143,000 pelajar mula sesi persekolahan libatkan negeri Kumpulan A, B

Kementerian Pendidikan memaklumkan telah memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke tingkatan satu dan tingkatan empat bagi SBP, SMKA, SMT, KV dan MTD mulai tahun ini.

Jelas kementerian itu, komponen yang akan ditaksir adalah sebanyak 20 peratus bagi kecerdasan insaniah; 70 peratus kecerdasan intelektual dan 10 peratus artikulasi penulisan.

Kementerian Pendidikan turut memaklumkan syarat permohonan kemasukan ke sekolah khusus termasuk warganegara Malaysia dan mendaftar dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

“Selain itu, murid tahun enam tahun ini yang berumur 12 tahun atau lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010.

“Syarat lain adalah murid tingkatan tiga tahun 2021 yang berumur 15 tahun atau lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007,” jelasnya.

Keputusan pemilihan kemasukan murid ke sekolah khusus itu akan diumumkan pada 15 Mac 2022.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram