Dakwa rasuah di Melaka, SPRM mahu Idris Haron beri maklumat

MENGIKUT undang-undang Malaysia, anda tahu ada rasuah, anda wajib laporkan kepada pihak berkuasa.

Jika tidak, ia satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (APRM).

Justeru, tak guna sembang macam gunung nak runtuh andai perkara itu tidak pun di bawa ke pihak berkuasa.

Terbaru, kisah di Melaka berhubung dakwaan pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di negeri itu.

Dakwaan ini dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron ketika kehangatan kemelut politik Melaka baru-baru ini.

Namun, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka memandang serius dakwaan Idris berhubung isu berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan UMNO di Melaka tumbang, Idris, tiga ADUN tarik sokongan

Sehubungan itu, SPRM mengingatkan mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama.

“Ingin ditegaskan bahawa kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009,” kata suruhanjaya itu.

Dalam pada itu, SPRM juga akan menghantar pegawai untuk mengadakan perjumpaan dengan Idris bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

‘Buat duit’ urus jenazah, lima kakitangan hospital direman

BERITA penahanan lima kakitangan hospital di Selangor petang semalam memang mengejutkan ramai.

Manakan tidak, mereka ditahan berhubung siasatan minta suapan daripada ejen sebagai balasan memberikan kerja urusan jenazah.

Ke tahap urusan jenazah pun boleh berlaku ‘buat duit’ dan ini menimbulkan tanda tanya sejauh mana kroniknya masalah rasuah di Malaysia.

Apa pun hari ini, lima kakitangan hospital itu yang berusia 30-an hingga awal 40-an ditahan reman lima hari untuk siasatan lanjut.

Ini setelah permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

Baca artikel berkaitan: Urus jenazah pun sempat ‘buat duit’, 5 staf hospital ditahan

Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Ellyna Othman.

Memetik laporan media semalam, jumlah balasan melibatkan lebih RM20,000 dalam tempoh sejak 2019.

Difahamkan ia melibatkan pengurusan jenazah beragama Islam yang mana urusannya adalah satu fardu kifayah.

Memetik laporan media, kesemua suspek itu ditahan sekitar 3 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Aktiviti persundalan terus aktif ketika PPN: Imigresen serbu ‘rumah merah’ tawar pelacur asing

WALAUPUN negara masih dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana setiap penduduk perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan virus COVID-19, mereka yang terlibat dalam aktiviti persundalan langsung tidak mengendahkannya.

Jika rakyat tidak digalakkan ‘sembang dekat’ tetapi golongan tersebut dengan pelanggan setia mereka seakan-akan kebal kerana langsung tidak takut untuk dijangkiti virus apabila melakukan perhubungan sejenis dengan pasangan tidak dikenali.

PEGAWAI Imigresen memeriksa dokumen para pelacur yang ditahan.

Bukti kegiatan itu masih aktif dapat dilihat apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu dua buah ‘rumah merah’ di kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur semalam dan berjaya menahan 13 pelacur warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan ke atas dua buah premis kawasan apartment kos rendah di kawasan tersebut yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di dalam tempoh PPN.

“Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga RM60 bagi satu langganan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya, Unit Operasi dari Bahagian Operasi,Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia telah menyerbu kedua-dua premis ini secara serentak pada jam 3.30 petang dengan kekuatan seramai 27 orang Pegawai Imigresen.

“Semasa serbuan, penjaga pintu terus ditahan untuk dibawa ke premis tersebut. Cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing dan pelanggan berjaya digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung oleh pegawai serbuan,“ katanya.

BERITA BERKAITAN Sindiket pelacuran guna aplikasi WeChat tumpas

Modus operandi perkhidmatan ini adalah dengan berjumpa penjaga pintu dan dibawa ke premis bagi tujuan pemilihan pelayan pelanggan.

Dalam serbuan ini, seramai 13 orang warga asing yang berumur diantara 20 tahun hingga 40 tahun telah ditahan.

Mereka terdiri daripada lapan wanita warga Vietnam, empat wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Vietnam. Manakala, dua lelaki tempatan yang merupakan penjaga pintu dan enam lelaki warga tempatan yang merupakan pelanggan di premis tersebut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Kegiatan pelacuran ini terbahagi kepada dua shif iaitu shif pagi dari jam 7:00 pagi sehingga 3:00 petang dan shif petang bermula dari 3:00 petang hingga jam 9:00 malam. Kebiasaanya seorang pelacur mampu melayan sehingga 14 orang pelanggan bagi satu shif.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UtusanTV

Kekal disiplin, Delta terus dikesan ketika ramai bilang hari untuk rentas negeri

0

VARIAN Delta yang kali pertama dikesan di India telah menyebabkan satu dunia berdepan peningkatan semula kes baharu COVID-19.

Ini termasuk di rantau Asia Tenggara dengan Singapura misalnya, sudah kembali mencatatkan penularan harian pada ribuan kes sejak beberapa hari lalu.

Malaysia juga tidak terkecuali dan dalam keterujaan menanti kebenaran rentas negeri yang dijangka beberapa hari lagi, varian Delta terus menjadi satu perkara yang semua perlu berhati-hati.

Sebanyak 384 kes positif COVID-19 daripada varian Delta yang mudah merebak itu telah dikesan di negara ini dalam tempoh bagi 25 September hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya 392 kes positif COVID-19 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dikesan dengan lapan lagi adalah Beta.

Selangor merekodkan kes positif daripada varian Delta yang tertinggi dengan 109 kes.

Katanya, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian bawah pemerhatian (VUM) adalah sebanyak 2,252 kes.

“Secara keseluruhan, sehingga kini terdapat 1,996 kes varian Delta, 222 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha berada dalam kategori VOC,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.

Data penularan varian mengikut negeri bagi tempoh 25 September hingga semalam./ Infografik FB Dr Noor Hisham

Menurutnya, kajian mutasi ‘Spike Protein COVID-19’ di Malaysia itu dijalankan enam konsortium iaitu Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM), Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara.

Baca artikel berkaitan: 45 juta dos telah diberi, 88.8 peratus dewasa lengkap divaksin

Khairy saran buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan

Turut terlibat ialah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika UM (TIDREC-UM), Institut Genom Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

VUM terdiri daripada Theta, Kappa dan Eta selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 30 Sept lepas meletakkannya dalam varian itu. Sebelum ini, ketiga-tiganya dikategorikan sebagai VOI.

Kini, hanya Lamba (C.37) dan Mu (B.1.621) dikategorikan sebagai VOI.

Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan, Noor Hisham berkata, seperti diketahui, larangan rentas negeri akan ditarik balik dalam tempoh beberapa hari lagi.

Ini sejajar dengan kadar vaksinasi dewasa yang semakin menghampiri angka 90 peratus.

Sehubungan itu, Noor Hisham mengingatkan rakyat Malaysia yang sudah lengkap vaksin untuk terus kekal berdisiplin mengamalkan kawalan kendiri.

“Demi orang tersayang, lakukanlah ujian COVID-19 secara berkala sekali gus dapat memutuskan rantaian penularan selain memastikan jangkitan baharu pada angka yang rendah,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Siasatan video ceramah berjalan, elakkan spekulasi – PDRM

0

BEBERAPA laporan polis telah dibuat termasuk oleh bekas Ahli Parlimen ke atas seorang ustaz susulan sedutan ceramahnya yang tular di media sosial.

Dalam kehangatan isu itu, Ustaz Mohd Syakir Nasoha turut tampil membuat penjelasan berkenaan sedutan video ceramah di sebuah masjid pada tahun 2017 tersebut.

Isu itu bagaimanapun sudah menjadi kes polis dengan siasatan sedang dijalankan terhadap klip video tular yang mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, video berdurasi satu minit berkenaan mula tersebar di beberapa aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu dan mengundang kemarahan orang ramai.

“Justeru siasatan telah dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain dan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Pada masa sama, Abd. Jalil berkata, siasatan berhubung kes terbabit masih dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Malaysia tidak buka sempadan negara sewenang-wenangnya – Ismail Sabri

KERAJAAN tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi COVID-19 dari negara asal mereka, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, buat masa ini kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan belum dibuka kepada pelancong.

“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan COVID-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

Katanya, kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan professional serta pelabur asing telahpun mula dibenarkan bermula pada Jun 2020 semasa Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika itu.

“Walau bagaimanapun, kebenaran masuk ini adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Pelan Pemulihan Negara, Kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini, dan bermula pada 12 Ogos 2021, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID19 sebelum diberikan kebenaran tersebut,” tambahnya.

Katanya, dalam hubungan ini, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

“Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam dan penekanan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, secara keseluruhannya, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran yang diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan juga keutamaan untuk pemulihan ekonomi.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakyat Keluarga Malaysia kerana telah bersama-sama pihak kerajaan dalam usaha pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), beliau berkata: “Saya jangka, sedikit masa lagi, sasaran kita untuk mencapai 90% penduduk divaksinasi akan dapat dicapai.” – UtusanTV

45 juta dos telah diberi, 88.8 peratus dewasa lengkap divaksin

0

SEBANYAK 45 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan setakat semalam sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COCID-19 (JKJAV), jumlah itu membolehkan 88.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Ini bermakna hanya 1.2 peratus lagi untuk mencapai angka 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi yang ditetapkan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri.

Kadar tertinggi dicatatkan di Lembah Klang dengan 111.9 peratus atau 6.9 juta penduduk dewasa selesai divaksin manakala terendah ialah Sabah, 63.3 peratus.

Sementara itu, statistik JKJAV menunjukkan 94.6 peratus atau 24.2 juta populasi dewasa Malaysia menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Baca artikel berkaitan: 88.4 peratus dewasa divaksin, kurang dua peratus capai sasaran

Khairy saran buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan

Jumlah itu bersamaan 74.1 peratus populasi keseluruhan rakyat Malaysia.

Statistik semalam menunjukkan 209,907 dos diberikan dengan 113,441 pemberian dos pertama manakala 96,466 dos lengkap.

Johor, Perak, Selangor dan Sabah antara negeri mencatatkan kadar pemberian dos tertinggi semalam.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Tidak perlu satu lagi jawatan Timbalan YDP Dewan Rakyat – Perikatan Nasional

0

MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) membuat pendirian tiada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat seperti mana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, selain itu, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan Mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan mesyuarat.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini. Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, PN berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut. Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya,” katanya.

Muhyiddin berkata, atas dasar tersebut, PN telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini. – UtusanTV

Jika saya ‘suka mengawal’, usia perkahwinan dengan Najib tidak akan capai 34 tahun – Rosmah

0

DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa tempoh perkahwinannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mencapai 34 tahun sekiranya beliau adalah seorang ‘yang suka mengawal’ seperti didakwa oleh pendakwaan.

Rosmah, 69, berkata jika beliau mempunyai sikap ‘suka mengawal’ dan ‘mampu mempengaruhi keputusan dalam sektor awam’ seperti yang cuba ditonjolkan oleh pendakwaan terutama Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, ia adalah perkara yang amat menghairankan. 

“Pihak pendakwaan cuba menggambarkan saya mempunyai keperibadian yang negatif melalui P36 (perbualan dalam rakaman audio berbunyi antaranya “Can I advise you something?”) dan menggunakan tuduhan tersebut kononnya saya memerintah Datuk Seri Najib, ketika itu Perdana Menteri, untuk menuruti kehendak saya di dalam projek solar hibrid tersebut (yang saya nafikan). 

“Ini adalah tuduhan yang tidak benar, tidak disahkan dan ia tidak boleh diambil pertimbangan oleh mahkamah ini. Situasi seperti ini tidak berlaku sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Merujuk perbualan dalam rakaman audio itu, Rosmah berkata beliau dan suami adalah manusia biasa, sama seperti pasangan lain dan perbualan mereka adalah bersifat peribadi.

“Saya memberikan pendapat saya dan suami saya pula mendengar, dan begitulah sebaliknya.

“Ada ketikanya, suami saya memberikan pandangan beliau dan saya pula menjadi pendengar. Sama ada suami saya menerima pandangan saya atau sama ada saya menerima pandangan suami saya, adalah soal kedua. Ini adalah resam rumah tangga dan asam garam kehidupan berkeluarga.

BERITA BERKAITAN Rosmah menangis semasa beri keterangan, sifatkan pendakwaan perbuatan zalim terhadap dirinya

“Di dalam P36 itu, saya tidak pernah sama sekali mengkehendakkan suami saya menuruti pandangan saya, saya hanya sekadar menekankan pandangan dan perasaan saya. Itu sahaja,” katanya sambil menambah bahawa ketepatan dan kesahihan rakaman audio itu tidak dapat dipastikan kerana orang yang merakamnya juga tidak dapat dipastikan manakala perbualan dalam eksibit tersebut tidak menyentuh projek hibrid solar.

Pada 18 Feb lepas, rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat “Can I advise you something?” diterima sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah membabitkan projek solar hibrid.

Rakaman audio itu, yang sebelum ini dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai adalah sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan Najib dimainkan pihak pendakwaan semasa bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan.

Rosmah turut menafikan beliau memberikan idea agar satu perjanjian konsultasi disediakan bagi memastikan Jepak Holdings Sdn Bhd menunaikan janji membayar sumbangan politik selepas berjaya mendapat projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion itu.

Beliau berkata idea untuk menyediakan perjanjian konsultansi yang didakwa sebagai satu cara pembayaran kepada beliau dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan, Lawrence Tee Kien Moon iaitu saksi pendakwaan ke-20.

Rosmah berkata Datuk Rizal Mansor berbohong ketika memberi keterangan bahawa beliau beberapa kali mengingatkan bekas pembantunya itu supaya menyediakan perjanjian untuk mengikat Jepak agar menunaikan janji memberikan sumbangan politik selepas mendapat kontrak daripada Kementerian Pendidikan.

“Keterangan Rizal tidak masuk akal kerana perjanjian konsultasi itu kemudian dibatalkan kerana Jepak telah diberikan projek hibrid solar dan perkara itu membuktikan saya tiada kena-mengena dengan apa-apa kepentingan dalam projek berkenaan,” katanya.

Rosmah turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak pernah membantu Jepak mendapatkan minit Perdana Menteri berhubung surat sokongan bagi syarikat itu mendapatkan projek tersebut.

“Kesemua 11 minit dan parap Perdana Menteri untuk Jepak diperoleh oleh Datuk Aazmey Abu Talib dan anehnya, beliau tidak pernah dipanggil oleh pihak pendakwaan sebagai saksi mahupun ditawarkan kepada pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan,” katanya.

Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek tersebut secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

— BERNAMA

Gara-gara dedah ‘rahsia’ ikan patin kolam dengan sangkar , netizen serbu TikTok pemuda ini

0

KEENAKAN gulai tempoyak ikan patin semestinya tidak dapat disangkal oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi penduduk di daerah Temerloh, Pahang yang terkenal dengan gelaran Bandar Ikan Patin.

Ikan air tawar ini mempunyai kelembutan isi yang berbeza bergantung kepada corak pemakanan dan kualiti air.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok @userkid80 berdurasi 18 saat, ikan patin kolam dan sangkar dapat dibezakan melalui lemak ikan tersebut.

“Lemak patin sangkar tak bercantum dengan isi ikan. Kalau patin kolam, lemak ikan akan bercantum dengan isi. Tekstur isi ikan kolam juga berminyak dan melekat-lekat” kata seorang penjual selepas ditanya perbezaan antara dua jenis ikan itu.

Disebabkan perkongsian itu, lebih 300,000 menonton video pendek tersebut dan rata-rata warganet turut berkongsi pandangan masing-masing pada ruangan komen mengenai cara membezakan antara ikan patin kolam dan sangkar.

“Kalau sangkar, bila di belah, darah ikan banyak keluar,” kata @ahmadhattakasmira.

“Ekor patin sangkar dan kolam pun dah berbeza juga” tulis @zamzul315.

“Selalu tengok warna isi je. Kalau kolam, isi dia kekuningan macam warna lemak dia. Yang sangkar atau air mengalir, isi dia putih” komen @Masyrinaim.

“Satu lagi nak tahu ikan kolam, tengok kat insang. Kalau kolam ada lumpur. Tak suka ikan kolam, rasa tanah dan tak sedap” ujar @Cik.Nfb.

Baca artikel berkaitan: Tular pengantin bancuh Nestum anak ketika sanding, suami tampil jelaskan kenapa baru buat majlis

@userkid80

Cara untuk mengenali Ikan Patin sangkar atau kolam

? original sound – KID

Warganet juga memberi pendapat tentang perbezaan kesedapan di antara ikan patin sangkar dan kolam.

“Sudah pasti lah sangkar lagi sedap. Lagi-lagi amik dari sangkar Sungai Pahang” kata @mtaufikshuk.

“Sangkar sedap, ikan kolam rasa pasir” tambah @KakMigha.

“Sangkar sedap, tak berbau tanah. Kolam bau sebab air tak mengalir. Sangkar selalunya dalam sungai air mengalir” komen @farinaazlina.

Menerusi ruangan komen juga, pemilik video memberi pendapat berbeza bahawa ikan patin sangkar yang bebas dari segi memakan dedak dan adalah jauh lebih enak.

Difahamkan, harga pasaran terkini bagi ikan air tawar ini diantara RM17 ke RM18 sekilogram.

Dikatakan sistem perairan air semula jadi dan sentiasa mengalir merupakan salah satu faktor mendorong pembiakan ikan patin sangkar yang berkualiti dan lebih sedap.

Berbeza dengan patin yang diternak di dalam kolam di mana pengaliran air yang bukan semula jadi dan tidak mengalir membuatkan ikan mempunyai bau hanyir dan boleh membuatkan orang “fobia” terhadap rasa ikan air tawar ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram