KUANTAN – Bandar Maran ditenggalami air kira-kira satu meter selepas hujan lebat berterusan sejak semalam.

Sebahagian premis perniagaan di bandar tersebut dimasuki air serta beberapa batang jalan dinaiki air menyebabkan puluhan kenderaan terkandas.

Malah, dua laluan utama dari ibu negara ke Kuantan dan sebaliknya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) tidak dapat dilalui kenderaan setelah dinaiki air dekat Maran.

Pusat bandar Maran hampir lumpuh selepas dinaiki air.

Justeru, pengguna yang mahu ke Kuantan dan Kuala Lumpur diminta menangguhkan perjalanan buat sementara waktu.

Kenderaan terkandas apabila LPT 1 dekat Sri Jaya, Maran dinaiki air sejak pagi tadi.

LPT Fasa 1 di Kilometer 198 antara persimpangan bertingkat Gambang dan Sri Jaya, ditutup kepada semua kenderaan akibat limpahan air sungai sejak jam 8.40 pagi tadi.

Pada masa sama, laluan alternatif jalan Persekutuan Kuantan-Temerloh juga dinaiki air berdekatan Maran.

Syarikat konsesi LPT, ANIH Berhad (ANIH) dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan itu berikutan kawasan terbabit sepanjang satu kilometer dinaiki air sedalam kira-kira 0.6 meter.

LPT di Kilometer 198 antara persimpangan bertingkat Sri Jaya dan Persimpangan Bertingkat Gambang dinaiki air hampir satu meter sepanjang satu kilometer berikutan hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi.

Hujan lebat berterusan menyebabkan semua lorong di kedua-dua hala ditutup kepada semua kenderaan.

“Orang ramai dinasihat mengikuti status dan perkembangan perkara ini menerusi saluran rasmi ANIH iaitu Twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur untuk status terkini keadaan trafik dan lebuh raya,” katanya.