KUALA LUMPUR – Pemohon skim pengeluaran wang i-Sinar dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang permohonan mereka diluluskan akan mendapat pembayaran pertama mulai 8 Januari ini.

Maklumat itu diumumkan oleh KWSP kepada para pemohon yang telah berjaya selepas mereka menyemak status permohonan di laman web i-Sinar https://isinar.kwsp.gov.my/check-status, mulai malam ini.

Menurut maklumat itu, pembayaran akan dilakukan melalui akaun bank yang didaftarkan oleh pemohon dan bagi mereka yang memilih pembayaran melalui Arahan Bayaran (PO) akan menerima notis pengambilan bayaran melalui PO oleh pihak bank masing-masing sebelum 12 Januari ini.

KWSP menyatakan mereka yang gagal dalam permohonan kategori 1, boleh mengemukakan rayuan untuk permohonan kategori 2 yang akan dibuka mulai 11 Januari ini dengan perlu mengemukakan dokumen-dokumen sokongan.

Keputusan permohonan malam ini adalah untuk pemohon yang berada dalam kategori 1, iaitu mereka yang terjejas pendapatan disebabkan COVID-19 seperti kehilangan pekerjaan, mengalami pengurangan gaji, tiada sumber pendapatan dan sebagainya.

Melalui permohonan kategori 1, KWSP tidak meminta sebarang dokumen sokongan kerana agensi itu hanya melakukan semakan melalui pangkalan data ahli KWSP sahaja.
Had pengeluaran i-Sinar adalah 10 peratus daripada jumlah simpanan ahli di Akaun 1 dengan jumlah maksimum RM60,000.

Menurut kenyataan KWSP sebelum ini, Kategori 1 dikhususkan kepada ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri dan bekerja dalam sektor ekonomi gig serta ahli KWSP yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kategori 2 pula adalah untuk ahli KWSP yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas. – UTUSANTV