KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi menteri ketiga disahkan positif COVID-19 dalam tempoh sejak Ahad lalu.
Menteri Dalam Negeri itu yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjalani ujian saringan semalam dan keputusannya dimaklumkan hari ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Dalam Negeri hari ini, Hamzah akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh pihak KKM.
Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin tersebut, Hamzah akan terus memantau dan akan memastikan segala urusan kementerian berjalan dengan lancar dari semasa ke semasa.
“Sehubungan itu, semua kontak rapat YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin bermula 8 Januari sehingga 11 Januari 2021 dimohon untuk tampil ke pusat saringan Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk melakukan saringan COVID-19 mengikut saranan pihak KKM.
“YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesembuhan kepada beliau dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul atas perkembangan ini,” kata kenyataan itu.
Ahad lalu, Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif COVID-19 dan semalam pula, Datuk Seri Rina Mohd Harun turut memaklumkan dijangkiti virus itu.
Semua anggota Kabinet Persekutuan telah diminta menjalani ujian saringan COVID-19 semalam susulan perkembangan tersebut.
Beberapa menteri antaranya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan keputusan ujian negatif COVID-19.